SIBU: Seorang lelaki berusia 46 tahun maut selepas ditembak di sebuah dusun buah-buahan milik keluarga mangsa di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini pada awal pagi, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Pang Neng Hua.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu 1.23 pagi oleh orang awam.
“Mangsa telah dikejarkan oleh dua rakan dan keluarganya ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada 1.55 pagi,” katanya pada sidang media, hari ini.
Siasatan mendapati mangsa bersama dua rakannya berusia 46 dan 36 tahun, makan di kebun itu 9.30 malam, semalam.
“Kira-kira 11.30 malam, mereka balik. Bagaimanapun, apabila salah seorang rakan mangsa mengunci pintu pagar di kebun itu, seorang suspek tampil ke hadapan dan melepaskan beberapa das tembakan.
“Dua rakan mangsa sempat melarikan diri dan bersembunyi. Selepas 30 minit, mereka keluar dari tempat persembunyian dan mendapati mangsa terbaring atas tanah,” katanya.
Zulkipli berkata pemeriksaan mendapati lapan kesan tembakan di badan mangsa. Salah seorang rakannya mengalami kecederaan ringan di bahagian muka.
Ditanya sama ada mangsa adalah ketua kumpulan yang dipanggil ‘Lo Han’, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Kami masih menyiasat motif dan jenis pistol yang digunakan dalam kejadian tembakan itu. Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) DSP Abdul Razak Musa.
Oleh Tarani Lanting