SIBU: Sebanyak 99 paket plastik bertulis ‘Jus Master’ disyaki berisi dadah jenis ecstacy dengan anggaran berat 3,420 gram dijumpai di sebuah rumah Jalan Keranji, di sini petang semalam.
Anggaran nilai semasa rampasan dadah itu adalah RM171,000.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, dalam serbuan sekitar jam 5.30 petang itu, pasukan polis turut menjumpai sebanyak 18 biji pil warna merah jambu disyaki pil ecstacy.
Anggaran beratnya 5.90 gram dengan nilai semasa RM270.
“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM171,270. Polis turut menahan seorang lelaki dan peremuan tempatan berusia 28 dan 53 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Zulkipli berkata, ujian saringan air kencing dijalankan turut mendapati suspek yang berusia 28 tahun positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, manakala saspek yang berumur 53 tahun negatif dadah.
“Kedua-duanya ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.
“Suspek lelaki telah direman selama tujuh hari bermula hari ini, manakala suspek perempuan direman tiga hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, hukuman di bawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan adalah mandatori gantung sampai mati.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar.
RAMPASAN…..Sebanyak 99 paket plastik bertulis ‘Jus Master’ disyaki berisi dadah jenis ecstacy dan 18 biji pil warna merah jambu disyaki pil ecstacy dijumpai di sebuah rumah Jalan Keranji, Sibu petang semalam.