KUALA LUMPUR: Polis akan melaksanakan operasi membanteras kegiatan samseng jalanan atau ‘mat rempit’ di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti di ibu negara terutama pada ambang merdeka Ahad ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, antara lokasi utama kegiatan ‘mat rempit’ adalah di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
“Walaupun pihak polis sentiasa pantau lebuh raya DUKE dan AKLEH tetapi masih ada yang berani berlumba di kawasan itu.
“Operasi ini akan dilaksanakan secara bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar di semua daerah di pusat bandar.
“Mat rempit ini akan masuk ke pusat bandar bermula 12.00 tengah malam dan akan ke lokasi luar dari ibu negara untuk berlumba,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Bulan Kebangsaan bersama Duopharma di sini Jumaat lepas.
Sementara itu, beliau berkata 164 individu telah ditahan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.
Zulkefly berkata, dalam tempoh sama juga, seramai 741 individu ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk di ibu negara.
“Saya nasihatkan kepada orang ramai agar tidak memandu sekiranya minum minuman keras…jangan risikokan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.- Bernama