Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Pochettino dakwa Balogun tidak wajar dilayangkan kad merah, bakal terlepas aksi bertemu Belgium
  • SUKAN

Pochettino dakwa Balogun tidak wajar dilayangkan kad merah, bakal terlepas aksi bertemu Belgium

Utusan Sarawak 6 hours ago
KETUA Jurulatih Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino, memerhatikan aksi sebelum perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Amerika Syarikat dan Bosnia dan Herzegovina di Stadium San Francisco Bay Area, Santa Clara, California pada 1 Julai 2026. Foto AFP

SANTA CLARA, Amerika Syarikat: Jurulatih Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino, berkata penyerang Folarin Balogun sama sekali tidak sepatutnya dilayangkan kad merah selepas diarah keluar padang ketika menentang Bosnia dan Herzegovina susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), sekali gus menyaksikan beliau bakal terlepas aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Belgium minggu depan.

Pada minit ke-64 perlawanan kalah mati itu, Balogun yang menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-0 Amerika Syarikat, secara kontroversi didapati memijak bahagian belakang kaki pertahanan Bosnia, Tarik Muharemovic.

Balogun turut kelihatan mengalami kecederaan akibat pertembungan itu, namun rakaman ulang tayang gerak perlahan menunjukkan kaki yang dihulurkannya mendarat pada kedudukan berbahaya di bahagian buku lali Muharemovic ketika pemain itu sedang berpusing.

Walaupun Balogun menegaskan sentuhan itu tidak disengajakan, beliau tetap dilayangkan kad merah selepas pengadil meneliti insiden berkenaan menerusi monitor di tepi padang.

PENGADIL Raphael Claus melayangkan kad merah kepada Folarin Balogun (20) dari Amerika Syarikat atas kesalahan terhadap Tarik Muharemovic (4) dari Bosnia dan Herzegovina dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Amerika Syarikat dan Bosnia dan Herzegovina di Stadium San Francisco Bay Area, Santa Clara, California pada 1 Julai 2026. Foto AFP

“Bagi saya, itu sama sekali bukan kad merah,” kata Pochettino.

“Dia langsung tidak berniat memijak pemain lawan. Itu situasi biasa dalam bola sepak apabila pemain bersaing mendapatkan bola dan kaki mereka mendarat. Mungkin insiden itu kelihatan agak keras apabila ditonton semula, tetapi saya percaya ia langsung tidak disengajakan.”

Penyerang Amerika Syarikat, Christian Pulisic, turut mempertahankan rakan sepasukannya dengan menyatakan Balogun “tidak layak menerima kad merah” dan menyifatkan keputusan itu sebagai “malang”.

Menurut peraturan FIFA, Balogun digantung secara automatik untuk perlawanan berikutnya dan hukuman itu tidak boleh dirayu, menurut jurucakap badan induk bola sepak dunia itu kepada media.

Pochettino berkata adalah “adil” sekiranya keputusan itu boleh dirayu, namun beliau perlu mempertimbangkan “pilihan lain” jika hukuman tersebut dikekalkan.

Ricardo Pepi, yang beraksi bersama PSV Eindhoven, pernah menggalas tugas di jentera serangan ketika Balogun direhatkan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Turkiye.

Balogun, yang dilahirkan di New York, dibesarkan di England dan kini beraksi bersama kelab Perancis, Monaco, telah menjaringkan tiga gol untuk Amerika Syarikat pada Piala Dunia kali ini, termasuk dua gol ketika menentang Paraguay dalam perlawanan pembukaan.

Beliau kini hanya ketinggalan dua gol di belakang rekod penjaring terbanyak Amerika Syarikat di Piala Dunia, iaitu lima gol yang dipegang oleh Landon Donovan.

“Dia sangat kecewa kerana saya percaya insiden itu tidak disengajakan. Namun, pada masa sama dia gembira kerana kami berjaya mara,” kata Pochettino.

“Kami tidak boleh mengubah perasaannya. Perkara itu sudah berlalu. Begitulah bola sepak. Dia perlu memahami bahawa situasi seperti ini boleh berlaku.

“Sudah tentu dia akan terus membantu pasukan. Saya berharap kami dapat mara ke pusingan seterusnya dan dia akan kembali beraksi.” – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Messi kembali ‘pulang’ pimpin misi Argentina pertahan gelaran di Miami
Next: Garcia puji Tielemans selepas selamatkan pasukan di Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.