
KEPUTUSAN PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu bukan sekadar episod ketegangan biasa dalam politik kepartian. Ia adalah tanda bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang memasuki fasa paling rapuh sejak kemunculannya sebagai blok pembangkang utama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selama ini, PN dibina atas gabungan dua kekuatan, iaitu PAS sebagai parti berakar umbi Melayu-Islam yang mempunyai disiplin organisasi, dan Bersatu sebagai parti nasionalis Melayu yang membawa imej bekas kerajaan serta tokoh nasional seperti Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin.
Apabila dua komponen utama ini berpisah secara politik, naratif PN sebagai ‘rumah besar pembangkang Melayu” mula retak.
Mesej PAS
PAS sebenarnya sedang menghantar mesej bahawa ia tidak mahu lagi berada di bawah bayang-bayang Bersatu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, PAS semakin jelas menjadi kekuatan dominan dalam PN.
PAS mempunyai jumlah kerusi yang besar, jentera akar umbi yang lebih tersusun dan jaringan politik Islam yang lebih lama bertapak berbanding Bersatu.
Maka, keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu boleh dibaca sebagai langkah PAS menyusun semula hierarki kuasa dalam blok pembangkang. PAS mahu menjadi pusat graviti politik Melayu-Islam, bukan sekadar rakan kongsi kepada Bersatu.
Impak
Kesan paling besar daripada keputusan ini ialah hilangnya imej PN sebagai gabungan tunggal pembangkang yang kukuh. Sebelum ini, PN dapat menjual naratif bahawa undi Melayu-Islam sedang bersatu menentang Kerajaan Perpaduan.

Namun apabila PAS sendiri memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, naratif penyatuan itu menjadi bercelaru. Pengundi akan mula mempersoalkan beberapa perkara termasuk mengenai apabila pembangkang sendiri gagal mengekalkan perpaduan sesama mereka, bagaimana mereka mahu menawarkan kestabilan kepada negara?
Bersatu menjadi pihak yang paling terdedah. Parti itu masih mempunyai tokoh, penyandang kerusi dan jaringan bekas kerajaan, tetapi kelemahannya terletak pada akar umbi. Bersatu tidak mempunyai tradisi organisasi setua UMNO atau PAS.
Ia tidak mempunyai jaringan usrah, markas, cawangan kampung, Muslimat, Pemuda dan struktur tarbiah seperti PAS. Dalam pilihan raya, jentera seperti inilah yang menggerakkan poster, bilik gerakan, ceramah, pengangkutan pengundi dan kerja-kerja mikro di peringkat peti undi. Tanpa PAS, Bersatu berisiko menjadi parti elit Melayu yang kuat di atas pentas tetapi lemah di lapangan.
Politik negeri terjejas
Kesan terhadap negeri juga berbeza. Di Kedah, PAS berada dalam kedudukan yang jauh lebih selesa. Kedah ialah negeri di bawah penguasaan PAS dan dominasi politik yang jelas.
Dengan penguasaan besar dalam Dewan Undangan Negeri, pentadbiran Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor tidak terlalu bergantung kepada Bersatu.
Maka, perpecahan PAS-Bersatu di Kedah tidak semestinya menjatuhkan kerajaan negeri. Sebaliknya, ia akan mengukuhkan lagi kedudukan PAS sebagai parti penentu dasar, agihan jawatan dan pembahagian kerusi pada masa hadapan.
Situasi Perlis
Perlis pula lebih rumit. Kedudukan politik negeri itu lebih rapuh kerana wujud kebergantungan antara PAS dan Bersatu. Jika hubungan politik kedua-dua parti benar-benar terputus di peringkat negeri, ia boleh membuka ruang kepada rundingan baharu, perubahan sokongan, atau pertukaran kepimpinan kerajaan negeri.
Dalam konteks Perlis, persoalannya bukan semata-mata sama ada kerajaan negeri akan tumbang, tetapi siapa yang akan menjadi pusat kuasa sebenar: PAS atau Bersatu.
Di Johor dan Negeri Sembilan, kesannya lebih bersifat pilihan raya. Kedua-dua negeri ini boleh menjadi medan ujian sama ada PAS dan Bersatu mampu bertanding secara berasingan tanpa saling melemahkan.
Jika kedua-duanya bertanding melawan calon Kerajaan Perpaduan, undi Melayu pembangkang berpotensi berpecah.
Dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, perpecahan undi kecil sahaja boleh mengubah keputusan di kerusi marginal. Perpecahan tiga hingga lima peratus undi sudah memadai untuk memberi kemenangan kepada pihak lawan di kawasan yang majoritinya kecil.
Negeri Johor dan Negeri Sembilan
Johor amat penting kerana negeri itu mempunyai pengundi Melayu yang lebih sederhana, jaringan UMNO yang masih kuat dan kawasan campuran yang memerlukan calon pembangkang diterima merentasi kaum.
PAS mungkin mempunyai kekuatan ideologi, tetapi untuk menembusi Johor secara besar-besaran tanpa Bersatu atau tanpa rakan politik lain bukan sesuatu yang mudah.
Bersatu pula, tanpa jentera PAS, akan berdepan persoalan sama ada ia masih mempunyai kekuatan sebenar di akar umbi.
Negeri Sembilan pula lebih sesuai kepada PH-BN kerana struktur pengundinya lebih bercampur antara Melayu, Cina, India, penjawat awam dan kelas pertengahan bandar.
Jika PAS dan Bersatu tidak sepakat, pembangkang sukar membina gelombang tunggal. Dalam keadaan itu, Kerajaan Perpaduan boleh memanfaatkan imej kestabilan, pentadbiran dan penyatuan jentera.
Namun, perpecahan ini tidak semestinya bermaksud PN akan hampir berpecah dan bersepai terus mati. Politik Malaysia sering menyaksikan perpecahan yang kemudiannya bertukar menjadi rundingan baharu.
PAS mungkin menggunakan langkah ini sebagai tekanan agar Bersatu menerima syarat baharu, terutama dalam pembahagian kerusi dan kepimpinan pembangkang. Bersatu pula mungkin cuba mengekalkan nama PN sambil merayu supaya hubungan dengan PAS tidak terputus sepenuhnya.
Akan tetapi, kerosakan imej sudah berlaku. Pengundi melihat bahawa gabungan pembangkang tidak lagi seutuh yang digambarkan. Jika sebelum ini PN dilihat sebagai alternatif besar kepada Kerajaan Perpaduan, kini ia kelihatan seperti gabungan yang sedang bergelut dengan perebutan kuasa dalaman.
Bagi PAS, perceraian ini mungkin memberi kebebasan strategik. Bagi Bersatu, ia membuka krisis survival. Bagi PN, ia menandakan fasa baharu yang tidak menentu.
Berdasarkan situasi ini, maka dirumuskan bahawa apabila retaknya hubungan PAS-Bersatu ialah petanda penyusunan semula politik Melayu menjelang PRU16.
PAS mahu menjadi kuasa utama Melayu-Islam. Bersatu mahu terus relevan sebagai parti nasionalis Melayu. Tetapi tanpa penyatuan, kedua-duanya berisiko melemahkan pembangkang secara keseluruhan. Dalam politik pilihan raya, perpecahan bukan sekadar masalah organisasi; ia boleh menjadi hukuman di peti undi.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.