
KUCHING: Timbalan Menteri Utiliti (Tenaga Sarawak & Petros) Dato Ibrahim Baki merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengiktirafan terhadap Petros sebagai satu-satunya pengagregat gas di Sarawak.
Beliau mendedahkan bahawa Perdana Menteri sekali lagi menegaskan pengiktirafan terhadap peranan syarikat minyak dan gas milik negeri itu semasa lawatannya ke Sarawak pada hari Sabtu.
“Alhamdulillah, Perdana Menteri semalam (Sabtu) telah sekali lagi mengumumkan bahawa beliau mengiktiraf Sarawak, melalui Petros, sebagai pengagregat gas. Ini sangat bermakna bagi kami.
“Ini bermaksud kita yang akan menguruskan pengedaran dan penjualan gas, dan ini akan menyumbang kepada peningkatan hasil daripada sektor gas kita. Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengiktirafan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon 2 PBB Satok di Dewan Datu Merpati Jepang, SK Merpati Jepang, semalam.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok turut mendedahkan bahawa Anwar menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan Pelan Induk Gas Sarawak (Sarawak Gas Roadmap, SGR).
“Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membayangkan satu pelan bagi membangunkan sektor gas di kawasan Barat Sarawak, termasuk Kuching melalui SGR.
“Perdana Menteri dalam mesyuarat semalam, yang saya turut serta, telah menyatakan sokongannya terhadap pelan tersebut yang dijangka mampu menarik pelaburan bernilai ratusan bilion serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Sarawak.
“Ia akan menjana hasil untuk Sarawak serta peluang untuk para peniaga dan usahawan tempatan,” ujarnya.
Terdahulu, Dato Ibrahim Baki turut merakamkan penghargaan kepada Premier kerana melantik beliau sebagai timbalan menteri yang memantau hal ehwal utiliti serta sektor minyak dan gas.
“Cabaran ini besar kerana kedua-dua sektor ini amat penting dalam penjanaan hasil untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk mengurusnya serta memikirkan kaedah bagi meningkatkan hasil kita bukan sahaja dalam penjanaan tenaga dengan mengekalkan kos rendah untuk rakyat, tetapi juga dalam sektor minyak dan gas,” jelasnya.
Oleh Masrin Affirah