SIBU: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melakukan lawatan kerja sehari ke Kapit pada Ahad ini.
Perdana Menteri dijangka tiba pada jam 10 pagi dengan menaiki helikopter dari Sibu sebelum menghadiri taklimat pembangunan di Sri Baleh Guest House.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi turut menghadiri lawatan itu nanti.
Selepas sesi taklimat, Perdana Menteri akan menghadiri pertemuan bersama pemimpin masyarakat tempatan di Dewan Suarah Kapit, sebelum merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit yang baharu di Jalan Bletih pada jam 12.30 tengah hari.
Perdana Menteri akan menerima taklimat mengenai projek pembinaan jambatan merentasi Sungai Rajang dan Sungai Belawai, yang dijangka memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat.
Pada sebelah petang, Anwar akan bertemu penduduk di Rh Robert Ngelumbang, Nanga Sebatu, dalam satu sesi bertemu rakyat.
Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sepanjang lawatan tersebut.
Ini merupakan lawatan kali keempat Anwar ke Kapit sejak 1997, menunjukkan komitmennya terhadap pembangunan luar bandar serta peningkatan infrastruktur di Sarawak.
Oleh AKUN GIMAN