
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa majikan supaya lebih prihatin serta berihsan dalam memastikan kebajikan pekerja terus terbela.
Beliau berkata keamanan dan pembangunan pesat negara mesti bergerak seiring dengan jaminan kesejahteraan semua lapisan masyarakat termasuk pekerja.
“Negara ini harus aman, negara ini harus membangun dan maju… tetapi harus juga jamin nasib pekerja itu terbela. Ini utama,” kata Anwar ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata pencapaian ekonomi negara ketika ini membanggakan antara lainnya mencatatkan kadar pertumbuhan pesat, pelaburan tertinggi dalam sejarah, kadar pengangguran rendah serta prestasi ringgit yang kukuh di Asia.
Namun, beliau membangkitkan persoalan sama ada golongan pekerja, khususnya di peringkat bawahan dan pertengahan menerima pembelaan yang sewajarnya dengan perkembangan tersebut.
“Kita (boleh) senaraikan berapa syarikat peringkat atas di negara kita, untung RM1 bilion, RM2 bilion (tetapi) mahu naikkan gaji pekerja RM40 pun sukar. Kita mahu pekerja disiplin produktiviti tinggi, itu tanggungjawab pekerja di semua peringkat.
“Kita mahu di negara ini bersih, maka tukang sapu sampah dan tukang cuci berkorban. Jadi, boleh tidak kita renungkan, ketuk pintu hati dan tanya apakah mereka ini diberi perhatian dan keadilan secukupnya?,” kata Perdana Menteri.
Oleh itu, beliau menggesa semua kepimpinan syarikat untuk bermuhasabah dan menilai semula layanan yang diberikan terhadap pekerja masing-masing.
“Saya tidak mengusulkan diberikan ganjaran sehingga menyebabkan syarikat itu rugi, saya tidak pernah mengusulkan, saya tidak mengusulkan supaya kita hilang daya saing… saya hanya mengusulkan supaya pimpinan negara, pimpinan syarikat itu lebih prihatin dan menunjukkan sikap ihsan,” kata beliau.
Mengulas mengenai Sambutan Hari Pekerja, Perdana Menteri berkata ia merupakan wadah buat semua pihak menginsafkan perjuangan dalam memberi pengiktirafan sewajarnya kepada golongan pekerja, selain mendorong usaha memperbaiki kebajikan mereka.
“(Perjuangan ini) tidak mudah kerana negara ini dicatur tentunya oleh parti, kelompok yang cukup berpengaruh, intelektual yang pintar dan umumnya mereka itu mewakili golongan kelompok atasan. Walaupun negara merdeka, kadangkala pandangan golongan itu hanya mewakili kelompok atasan.
“Sebab itu Hari Pekerja harus mengingatkan kita bahawa tidak ada rakyat, petani dan nelayan, tidak ada menteri. Tidak ada pekerja bawahan, tidak ada syarikat yang dapat membanggakan kejayaan,” kata beliau.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan memberi penekanan khusus terhadap isu gaji pekerja sebagai antara agenda utama pentadbiran.
Beliau berkata usaha itu akan diteruskan biarpun sebelum ini kerajaan berjaya menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 serta menaikkan gaji minimum buat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada RM3,000.
Sambutan Hari Perkerja Peringkat Kebangsaan hari ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta barisan Kabinet.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pegawai kanan kerajaan serta wakil kesatuan pekerja dan majikan. – Bernama