
KUCHING: Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sarawak sekali lagi berjaya menganjurkan Program Suara 34 Pandu Lalu Ramadan Kasih @RTM buat kali kelima sejak diperkenalkan pada 2021, dengan kerjasama rakan-rakan strategik lain.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menyifatkan program itu sebagai inisiatif baik bagi merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Inisiatif ini bukan sahaja merapatkan jurang maklumat antara kerajaan dan rakyat, malah turut melibatkan interaksi langsung dengan masyarakat sekitar,” katanya dalam ucapannya hari ini.
Beliau menambah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran ramai penduduk yang beratur untuk mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri serta sumbangan kepada golongan memerlukan.
Abdullah turut mencadangkan agar program seumpama ini diperluaskan ke kawasan pedalaman bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat manfaat.
Selain itu, beliau menegaskan kepentingan peranan media dalam menyampaikan maklumat yang sahih, khususnya dalam menangani penyebaran berita palsu di media sosial.

“Saya harap Jabatan Penyiaran bersama rakan media lain terus menjadi benteng menangkis isu-isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat seperti perkauman dan seumpamanya,” katanya lagi.
Beliau juga menzahirkan keyakinan terhadap keharmonian kaum di Sarawak, yang terkenal sebagai negeri paling majmuk di Malaysia dengan semangat perpaduan yang kukuh.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan orang ramai agar merancang perjalanan dengan berhati-hati sepanjang musim perayaan bagi mengelakkan sebarang insiden di jalan raya. – UKAS