
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: NEW JERSEY: Wira Ecuador di Piala Dunia, Gonzalo Plata, menyifatkan kejayaan mara ke pusingan 32 terbaik selepas menewaskan Jerman 2-1 dalam aksi dramatik pada awal pagi tadi menjadikan pencapaian itu lebih bermakna.
Plata menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77 di New Jersey, sekali gus memastikan Ecuador melangkah ke pusingan kalah mati sebagai antara pasukan di tempat ketiga terbaik.
Namun, mereka terpaksa mengharungi laluan berliku selepas sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan awal Kumpulan E, termasuk seri tanpa jaringan menentang pasukan bukan pilihan, Curacao.

“Ia sesuatu yang sangat indah. Sebelum Piala Dunia bermula, kami berharap dapat melakukannya dan akhirnya ia menjadi kenyataan, walaupun dengan cara yang tidak dijangka kerana kami terpaksa mengharungi banyak kesukaran.
“Kami terlalu banyak melalui saat sukar dalam dua perlawanan pertama. Semua orang mahu kami layak ke pusingan seterusnya dan mungkin ia boleh dicapai lebih awal, tetapi saya rasa lebih baik begini. Kami hadir dengan semangat yang tinggi dan perlu memberikan segala-galanya,” kata Plata yang beraksi bersama kelab Brazil, Flamengo.
Ecuador bermula dengan langkah kiri apabila Jerman mendahului seawal minit kedua menerusi Leroy Sane menerusi jaringan yang mencetuskan kontroversi susulan dakwaan berlaku kekasaran terhadap Pedro Vite. Bagaimanapun, Nilson Angulo yang beraksi bersama Sunderland berjaya menyamakan kedudukan tidak lama kemudian.
Plata kemudian melengkapkan kebangkitan Ecuador apabila menyempurnakan sepakan penjuru pada minit ke-77, sekali gus membawa negaranya ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali kedua. Kali pertama adalah pada edisi 2006 sebelum tewas 1-0 kepada England pada pusingan 16 terakhir.
“Tidak kira apa yang berlaku pada awal perlawanan. Jika kami gagal menjaringkan gol lebih awal, kami perlu terus berjuang hingga wisel penamat.

“Pasukan ini luar biasa. Kami sentiasa yakin dengan kemampuan sendiri dan percaya kepada rakan sepasukan. Kami mempunyai 26 pemain yang sanggup berkorban demi pasukan.
“Penyokong yang hadir juga begitu hebat. Mereka memenuhi stadium di setiap venue kami beraksi dan membuatkan kami berasa seperti bermain di gelanggang sendiri. Kejayaan ini bukan hanya milik kami, tetapi juga milik mereka,” katanya.
Jurulatih Ecuador, Sebastian Beccacece, sebelum ini menerima kritikan hebat daripada penyokong susulan permulaan hambar pasukannya dalam kejohanan itu. Namun, jurulatih dari Argentina itu membalas kritikan tersebut dengan menghadiahkan kemenangan pertama Ecuador ke atas Jerman dalam sejarah.
“Ada kalanya kita perlu menerima kepedihan akibat kekalahan dan ada masanya kita menikmati kegembiraan hasil kemenangan. Yang penting ialah mengekalkan keseimbangan. Keputusan ini tidak akan mengubah kehidupan saya.
“Sejak hari pertama kami mengambil alih pasukan, matlamat kami adalah untuk memperkasakan para pemain supaya mereka tidak berasa rendah diri mahupun terlalu yakin. Kami mahu mereka percaya bahawa mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan,” katanya. — AFP