KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadual berakhir Isnin ini dilanjutkan sehingga 31 Disember depan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.
“Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP yang disiarkan di televisyen tempatan.
Pada 7 Jun lepas, perdana menteri mengumumkan pelaksanaan PKPP sehingga 31 Ogos bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas Malaysia berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini.
Muhyiddin menekankan sekiranya berlaku peningkatan kes-kes jangkitan di lokaliti tertentu, kerajaan akan melaksanakan pendekatan secara bersasar seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan sebelum ini.
Menyedari bahawa rakyat Malaysia tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus ‘super spreader’ dalam negara, beliau berkata peraturan kuarantin yang ketat di tempat-tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan.
“Negara kita masih berhadapan cabaran getir dalam menangani penularan wabak Covid-19, mengambil kira virus ini masih menular secara aktif di seluruh dunia. Melihat kepada kes-kes yang berlaku di luar negara, virus ini bukan sahaja masih aktif malah menular secara cepat pada skala yang besar.
“… sepertimana yang berlaku menerusi kluster Sivagangga, Tawar dan Sala di negeri Kedah, Sanglang di Perlis dan juga kluster di negeri Sarawak baru-baru ini. Risiko ini perlu ditangani segera dan dikawal dengan tindakan-tindakan yang tegas dan tangkas sebelum ia merebak dengan lebih meluas,” katanya.
Perdana Menteri berkata ia termasuk tindakan kerajaan untuk memperketat kawalan sempadan negara, selain mewajibkan rakyat yang pulang dari luar negara dan warga asing yang memasuki Malaysia menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di stesen-stesen kuarantin yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau menyokong cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang.
Bagaimanapun, jelasnya perkara itu perlu diperhalusi dan Akta 342 perlu dipinda terlebih dahulu.
“Tiada sesiapa dikecualikan daripada peraturan ini dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata penularan Covid-19 di peringkat global masih belum menunjukkan tanda-tanda ia akan berakhir dalam waktu yang terdekat memandangkan sehingga kini 22 juta kes positif dilaporkan dengan lebih 780,000 kematian.
“Bagi mengatasi krisis ini, pelbagai pihak sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin Covid-19. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan penularan Covid-19 akan berlanjutan untuk satu tempoh masa yang agak lebih lama.
“Justeru, adalah menjadi keutamaan kerajaan pada masa ini untuk mengenal pasti kluster-kluster yang mungkin wujud di negara kita dan mengambil tindakan segera untuk menghalang jangkitan dalam komuniti,” katanya. – Bernama