KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Daerah Kuching yang dijadualkan tamat semalam, dilanjutkan selama lima hari lagi sehingga 27 November ini.
Pemangku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Tan Sri Jemut Masing berkata, perkara berkenaan diputuskan selepas meneliti beberapa isu yang telah di bincangkan.
“Ini kerana, Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari yang lepas masih terdapat 58 kes positif tempatan di Daerah Kuching.
“Taburan kes-kes jangkitan ini tidak tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja. Oleh demikian setelah penilaian risiko, maka tempoh PKPB di Daerah Kuching dilanjutkan sehingga 27 November ini (Jumaat).
“Sekiranya dalam tempoh lanjutan PKPB ini, JPBNS mendapati bahawa tiada lagi keperluan untuk penguatkuasaan, ia boleh dipendekkan pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, semalam.
Menurutnya lagi, tatacara kemasukan dan tempoh kuarantin selama 14 hari masuk ke Sarawak dilanjutkan sehingga diberitahu kemudian.
“Pergerakan keluar dan masuk merentasi Daerah Kuching tidak dibenarkan kecuali untuk tugas rasmi dan tujuan bekerja.
“Surat dan pas kerja daripada Ketua Jabatan ataupun majikan adalah memadai manakala bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu memohon permit dari Polis Diraja Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, JPBNS turut memaklumkan bahawa, pembukaan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) di Zon Merah dan Zon Kuning dibenarkan beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak (KKWKPK).
“Pihak Pengusaha TASKA dan TADIKA hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pematuhan SOP yang ditetapkan.
“Bagi tujuan rekod dan pemantauan, pihak TASKA dan TADIKA wajib memaklumkan kepada KKWKPK sebelum memulakan operasi,” ujarnya.
Manakala bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian adalah mengikut kapasiti kenderaan dan tidak lagi terhad kepada tiga orang sahaja.
Oleh Jeakqleyn Yacho