PETALING JAYA: Fasa pertama Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir esok (hari ini) tidak akan ditamatkan malah akan diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, fasa pertama itu akan dilanjutkan memandangkan jumlah kes Covid-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya.
“Sekarang mereka kata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dah nak tamat. Saya kata, mulai sekarang kita tak sebut PKP, tapi kita sebut kita berada dalam fasa, sekarang ini fasa pertama (PPN) sampai Julai mungkin pertengahan bulan dan sebagainya.
“Bukan kata 28 Jun tamat PKP, itu silap…kita masih di fasa pertama PPN dan akan lanjutkan sehingga cecah nilai ambang bawah 4,000 kes dengan kes di Unit Rawatan Rapi tidak lagi berada pada paras tenat dan vaksinasi ditingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, semalam.
Menurut Muhyiddin, fasa pertama Kawalan Pergerakan itu menguji ketahanan negara supaya dapat melalui proses bagi kesemua fasa yang ada dalam PPN dengan baik.
Pada 15 Jun lepas, Muhyiddin mengumumkan PPN yang merangkumi empat fasa yang akan beralih secara berperingkat.
Bagi membolehkan peralihan ke fasa kedua, purata kes harian Covid-19 perlu berada di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin. Untuk ke fasa ketiga, ia akan dibuat jika antara lain purata kes harian Covid-19 turun ke paras bawah 2,000 dan nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini, manakala peralihan ke fasa keempat dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir Oktober 2021.