
KUCHING: Sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala menzahirkan penghargaan kepada seluruh tenaga kerja di negeri ini yang menjadi tunjang kemajuan dan pembangunan Sarawak.
Menurut beliau, kesungguhan, ketabahan dan semangat perpaduan yang ditunjukkan para pekerja, terutamanya semasa tempoh pandemik COVID-19 dan pemulihannya menjadi sumber inspirasi kepada kemajuan negeri.
Tahun ini juga menyaksikan detik penting dalam landskap perundangan buruh di Sarawak apabila pindaan Ordinan Buruh Sarawak (SLO) telah diluluskan Parlimen, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan dijangka berkuat kuasa bermula 1 Mei 2025.
“Pindaan ini menyelaraskan undang-undang buruh Sarawak dengan Akta Kerja 1955 yang diguna pakai di Semenanjung serta standard antarabangsa.
“Ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan keadilan sosial dan amalan pekerjaan yang adil di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Antara perubahan utama yang diperkenalkan termasuk peluasan perlindungan undang-undang kepada semua kategori pekerja tanpa mengira gaji atau jawatan, peningkatan cuti bersalin kepada 98 hari dan pemberian cuti paterniti berbayar selama tujuh hari kepada bapa yang layak.
Malah, waktu kerja mingguan maksimum dikurangkan daripada 48 jam kepada 45 jam bagi menyokong keseimbangan kerja dan kehidupan.
Selain itu, pekerja kini boleh memohon susunan kerja yang fleksibel dan standard perumahan pekerja juga dipertingkatkan.
Dalam usaha menentang diskriminasi di tempat kerja, pekerja kini mempunyai hak untuk membuat aduan terhadap amalan yang tidak adil.
Datuk Gerawat menjelaskan bahawa pindaan tersebut dirangka melalui rundingan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk kesatuan sekerja, majikan dan masyarakat sivil.
“Hari Pekerja bukan sekadar hari untuk meraikan sumbangan pekerja, tetapi juga peringatan bahawa melindungi hak pekerja adalah tanggungjawab bersama.
“Undang-undang hanya menyediakan asas; kejayaan bergantung kepada persefahaman dan kerjasama antara majikan dan pekerja,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak bakal mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah perhimpunan Hari Pekerja peringkat negeri yang pertama pada 18 Mei 2025, yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis ini akan menjadi platform untuk menghargai jasa pekerja dari semua sektor dan menegaskan lagi komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan tenaga kerja.
“Marilah kita terus melangkah ke hadapan dengan semangat perpaduan dan iltizam untuk memastikan tiada pekerja yang terpinggir dalam membina Sarawak yang maju dan sejahtera,” katanya. – UKAS