

SELAGI kita bergelar manusia, lazimnya kita akan merasa malas apabila dikejutkan daripada tidur. Perasaan hendak tidur kembali adalah penyebab kepada kemalasan tersebut.
Kalau tidak kerana kewajipan menunaikan solat subuh atau komitmen lain sudah pasti kita akan kembali meneruskan nikmat tidur itu.
Hebatnya Islam menyerlah apabila seruan “Solat lebih baik daripada tidur!” berkumandang semasa azan solat Subuh cukup sebagai sindiran bertahap tinggi.
Ketika itu, hanya jiwa yang beriman sahaja yang bangkit menyahut panggilan tersebut. Ia mengalahkan syaitan dan menentang kemalasan, untuk bangun dan pergi melakukan pertemuan yang paling baik.
Ia adalah pertemuan yang tertinggi iaitu habluminallah sebagai pembukaan hari yang lebih bermakna.
Allah SWT mengasihi orang yang solat terutamanya solat Subuh. Dia menjadikan mereka berada di dalam perlindungan-Nya.
Sesiapa yang bersolat Subuh, maka dia berada di dalam jagaan Allah SWT. Allah SWT akan memberikan cahaya kepada hatinya dan melapangkan dadanya.
Solat subuh adalah neraca sebenar bagi keimanan. Sesiapa yang mahu mengetahui kedudukannya di sisi tuhan-Nya, hendaklah dia menggunakan neraca solat Subuhnya bagi mengetahui kedudukannya itu.
Tentera-tentera Islam dahulu memulakan peperangan sebaik sahaja selepas solat Subuh sebagai langkah mengikut jejak langkah Rasulullah SAW sebagaimana kemenangan yang Baginda perolehi pada Perang Khaibar.
Begitu juga dengan Salahuddin al-Ayyubi, beliau menjadikan solat Subuh sebagai permulaan peperangan yang dilancarkannya.
Dengan keimanan para tenteranya di bawah pimpinan beliau semasa peperangan Hittin, mereka telah berjaya membebaskan al-Aqsa.
Goldameir, bekas Perdana Menteri Israel pernah berkata: “Hanya apabila bilangan orang Islam yang menunaikan solat subuh sama seperti bilangan mereka ketika menunaikan solat Jumaat, maka hanya pada ketika itu mereka akan menang dan dapat mengalahkan kita.”
Maka solat Subuh adalah pra syarat kemenangan dan janganlah kita melewatkan kemenangan! Jika kita hendak mencapai kemenangan, tiada jalan pintas. Banyak liku dan rintangan yang perlu diatasi.
Pembuka hari dengan perintah solat Subuh selepas menikmati keselesaan tidur malam seharusnya menjadi dorongan bagi kita untuk memastikan kemudahan hidup daripada Allah SWT sentiasa terpelihara.
Allah SWT Mengizinkan Kemudahan Hidup Kita
Allah SWT telah menciptakan dunia sebagai ujian bagi manusia. Sebagai hamba yang sentiasa menerima ujian, kadangkala Allah SWT menguji manusia dengan kesenangan dan ada masanya dengan kesukaran.
Bagi kita yang tidak menilai setiap peristiwa berlandaskan al-Quran, kita akan gagal memahami hikmah di sebalik kejadian lalu mudah kecewa dan lemah pengharapan.
Bagaimanapun, Allah SWT tetap mendedahkan rahsia paling penting di dalam al-Quran, yang mana hanya hamba yang beriman dan bertaqwa sahaja yang mampu melihat.
Rahsia yang dimaksudkan adalah seperti berikut: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan..” (Surah al-Insyirah: Ayat 5-6)
Sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayat ini, apapun bentuk penderitaan yang dialami seseorang atau bagaimanapun situasi yang dihadapinya, Allah SWT tetap menyediakan jalan keluar serta memberikan kemudahan kepada orang-orang yang beriman.
Sesungguhnya, orang-orang yang beriman akan menyaksikan bahawa Allah SWT memberikan kemudahan di dalam semua kesulitan jika seseorang itu tetap beristiqamah dalam kesabaran.
Justeru, hadapilah realiti hidup ini dengan penuh kesabaran kerana Allah SWT lebih mengetahui setakat manakah kemampuan kita menghadapi ujian-Nya.
Allah Tidak Membebani Seseorang Di Luar Batas Kemampuannya
Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Adil, telah memberikan kemudahan dalam segala sesuatu dan menguji manusia sesuai dengan batas-batas kemampuan mereka.
Sebagai contoh, solat Subuh dan solat-solat fardhu yang lain diperintahkan Allah SWT adalah untuk menguji bagaimana kita sebagai manusia mematuhi kewajipan tersebut.
Jika umat Islam pada pelbagai peringkat umur dan kedudukan telah akur dan patuh dengan perintah ini sejak lebih seribu empat ratus tahun yang lalu, kenapa pula kita menafikan kewajipan ini di mana Allah SWT lebih mengetahui kesemuanya sesuai dengan kemampuan seseorang?
Sehebat mana pun sesuatu ujian itu, sesukar mana pun ia di mata kita, percayalah, bahawa kita sebenarnya mampu untuk menghadapinya. Sebagaimana janji Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 286)
Allah SWT mengasihi kita. Allah tidak akan sekali-kali menzalimi kita dengan memberi ujian yang melebihi tahap kemampuan kita.
Namun begitu, mengapa ada masanya, perasaan ‘tidak mampu’ itu muncul dalam diri kita? Mengapa kadangkala, kita rasa seperti diri kita telah tidak mampu dan tidak berupaya?
Jawapannya mudah, kita perlu kembali ke jalan Allah SWT iaitu dengan secara istiqamah mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi setiap larangan-Nya.
Hidup Menjadi Mudah Bersama Agama Allah SWT
Ada dalam kalangan kita beranggapan bahawa agama hanya akan menyulitkan kehidupan dan terasa dipaksa untuk mematuhi segala hukum-hukumnya yang sukar dan payah.
Ini hanyalah khayalan dan godaan yang dibisikkan oleh syaitan bagi menyesatkan manusia.
Allah SWT dengan jelas menyatakan bahawa Dia pasti akan menyediakan jalan keluar pada setiap kesukaran hidup bagi hamba-hamba-Nya yang beriman.
Di samping itu, berlandaskan kepada ajaran agama seperti bertawakal kepada Allah SWT dan meyakini takdir juga dapat menghilangkan semua rasa bebanan, kesulitan, penderitaan dan dukacita.
Bagi seseorang yang berpegang teguh dengan ajaran agama Allah SWT, tidak akan timbul penderitaan, dukacita atau putus asa.
Allah SWT menjanjikan pertolongan ke atas orang-orang yang berserah diri kepada-Nya dan orang-orang yang membantu agama-Nya.
Allah SWT turut memberikan kehidupan yang baik kepada mereka yakni kebaikan di dunia ini mahupun di akhirat kelak sepertimana firman-Nya yang bermasud: “Ketika orang-orang yang bertakwa ditanya, ‘Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?’ Mereka menjawab, ‘Kebaikan.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapatkan yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik, dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa.”
(Q.S. An-Nahl: Ayat 30)
Dapatlah kita ringkaskan bahawa orang yang dengan ikhlas berpegang kepada agama Allah SWT bererti telah memilih jalan yang benar dan mudah sebagai usaha untuk mendapat manfaat di dunia dan di akhirat.
Oleh itu, amat penting bagi kita untuk mendekatkan diri kepada Allah, ke arah jalan-Nya memohon bantuan dan pertolongan-Nya supaya hidup dipenuhi rahmat dan keberkatan.
Aallahu Alam Bissawab