PERHIMPUNAN Agung UMNO berakhir dengan gesaan agar Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dengan kadar segera. Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dilihat lantang bersuara dalam gesaan ini telah memberikan pelbagai faktor utama untuk mengadakan PRU dalam tempoh terdekat.
Pertamanya kedudukan pihak pembangkang kini dilihat lemah dan tidak berupaya bangkit selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor. Peluang ini perlu direbut segera bagi memastikan UMNO dapat meraih kemenangan yang lebih besar.
Perpecahan pembangkang dalam PRN Johor dapat dilihat hingga menyebabkan pertembungan sehingga tujuh penjuru. Hal sebegini menunjukkan kesatuan pembangkang berada dalam titik kelemahan yang begitu ketara. Malah, mereka juga bertanding berebut kerusi yang sama, seperti yang jelas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, dan keadaan ini menyebabkan undi berpecah dan banyak memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
Persefahaman bercelaru
Terdapat juga persefahaman politik yang sangat bercelaru dan hal sedemikian ini menambahkan kerumitan pembangkang untuk bersatu. Misalnya, parti Pejuang dan Warisan dianggap parti pengacau oleh Parti KeAdilan Rakyat (PKR) kerana enggan mengiktiraf Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), iaitu Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Sementara, Shafie Apdal pula dilihat masih berminat untuk menjadi calon Perdana Menteri kerana sebelum ini, Mahathir memberikan sokongan penuh kepada Shafie sebagai calon Perdana Menteri. Sudah pasti hal sedemikianini akan melukai hati penyokong PH kerana Tun Mahathir dianggap telah mengkhianati PH dengan menumbangkan sendiri kerajaan PH dengan meletak jawatan tanpa berunding dengan komponen lain dalam PH.
Ketidakselesaan pasti tersemat dalam kalangan penyokong PH untuk menerima hakikat perlu bekerjasama dengan Tun Mahathir dan parti Pejuang, pada masa yang sama, terpaksa mengagihkan kerusi-kerusi yang berpotensi menang kepada parti Pejuang dan Warisan sebagai yang telah PH lakukan untuk parti Muda pada PRN Johor. Sedangkan, semua mengetahui bahawa kerusi tersebut ialah kubu kuat penyokokong PH, mana-mana parti yang mendapat restu DAP di kawasan itu, pasti akan menang.
Hal sedemikian ini bermakna bukan disebabkan parti Muda yang bertanding di Puteri Wangsa yang menyebabkan parti Muda menang, namun, penyokong PH yang terdapat lebih 51 peratus pengundi Cina dirayu oleh DAP yang telah memenangkan parti Muda.
Justeru, banyak lagi kerusi yang perlu diserahkan kepada Muda, Warisan dan Pejuang atas nama perkongsian kuasa. Situasi ini tidak semudah disangkakan, walaupun penyokong PH selalu digesa melihat ke hadapan dan berjiwa besar.
Covid-19 bukan lagi pandemik
Faktor pandemik dan kini beralih kepada endemik telah membuka ruang kepada pembatasan pergerakan dan ruang untuk berkempen. Kekuatan DAP misalnya, adalah melalui ceramah di restoran-restoran dan tempat-tempat terbuka seperti di padang, stadium dan sebagainya. Apabila dibataskan ruang, agak sukar kempen yang lebih berkesan dilakukan.
Kempen besar-besaran juga sukar dilakukan. Berbeza dengan BN yang lebih banyak mempunyai jentera dengan keahlian yang ramai untuk bergerak, maka kempen bergerak dengan kelompok yang pelbagai dan berterusan dilihat lebih mudah dan mereka mempunyai pengalaman dengan kempen sedemikian, manakala PH secara relatifnya pula kurang jentera dan keahlian masih kurang dan sukar dilakukan pendekatan sedemikian. Maka, kelebihan inilah yang dicuba dimanfaatkan oleh BN untuk memastikan mereka beroleh kemenangan besar jika diadakan PRU dalam masa terdekat ini.
Sekiranya situasi endemik semakin longgar, banyak kempen terbuka dibenarkan, banyak juga Prosedur Operasi Standard (SOP) sudah dilihat tidak relevan lagi dan mulai dibuka seluas-luasnya, maka peluang BN untuk memanfaatkan fasa endemik dan Covid-19 akan semakin terhakis dan ini menunjukkan semakin lama Pilihan Raya Umum diadakan, maka semakin tipis kemenangan besar untuk dicapai BN mampu direalisasikan.
Inilah hakikat yang menjadikan UMNO semakin kuat membuat gesaan untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat ini.
Fasa endemik
Pihak pembangkang pula menjadikan isu Covid-19 dan pandemik sebagai alasan untuk menangguhkan pilihan raya. Kebimbangan terhadap Covid-19 dijadikan alasan walaupun hampir semua rakyat Malaysia sudah divaksinasikan sekurang-kurang dos kedua dan kini negara bergerak ke fasa endemik. Malah, terdapat negara-negara luar sudah tidak lagi menggunakan pelitup muka.
Secara fakta, terdapat 160 negara dan wilayah telah melaksanakan pilihan raya dalam tempoh wabak Covid-19, termasuk negara Indonesia dan Amerika Syarikat yang penduduknya keluar mengundi mencecah hampir 200 juta penduduk.
Hal sedemikian ini menunjukkan terdapat unsur ketakutan lain yang melanda pembangkang. Faktor tersebut adalah ketidakbersediaan mereka berdepan dengan lawan mereka. Mereka tahu jika pilihan raya diadakan segera maka, peluang untuk menawan Putrajaya adalah tipis.
Mereka perlukan masa untuk memulihkan, memperbaiki dan mempertingkatkan kedudukan mereka untuk menarik sokongan dari kalangan pengundi mereka sebelum ini. Penyokong yang ada sudah menjauhi diri daripada sokongan terhadap PH. Situasi ini memerlukan masa yang bukan sedikit, paling kurang mereka memerlukan masa 10 bulan bagi mengukuhkan kedudukan, khususnya mencari strategi terbaik untuk menyatukan sesama pembangkang dan mendapat formula terbaik bagi menyakinkan rakyat dengan tawaran-tawaran menarik kepada rakyat.
Elak dikambinghitamkan
Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat menyatakan UMNO telah melihat bahawa prestasi parti sebagai kerajaan sangat bergantung pada pelbagai faktor dalam dan luaran. Lebih-lebih lagi apabila dijangka akan memuncaknya krisis Ukraine dan Rusia, yang akan mengugat keselamatan dunia dan mencetuskan kebimbangan dan ketakutan serta ketidakpastian.
Kemungkinan wujudnya ancaman pandemik baharu, ketegangan hubungan Amerika Syarikat dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan ‘global supply chain’, terutama dalam bekalan minyak dan bahan penyediaan ternakan dan makanan seperti baja, dedak serta ternakan seperti lembu, ayam, kambing di peringkat serantau dan dunia kesan daripada ketidaktentuan ini.
Apabila ini dijangka akan berlaku ia akan mempengaruhi situasi dan prestasi ekonomi negara dan rakyat akan berasa marah apabila berlaku kenaikan mendadak, harga tidak terkawal, bekalan makanan sukar diperoleh dan sebagainya. Akhirnya, ramai akan mengkambinghitankan UMNO dan BN kerana berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), manakala Perdana Menteri ialah dari parti UMNO. Maka, ia perlu dijauhi segera dan perlu diadakan Pilihan Raya Umum segera agar kerajaan yang dominan, kuat dan stabil tanpa memerlukan pergantungan terhadap musuh politik lama mereka yang bila-bila masa akan menarik butang sokongan, sebagaimana selalu BN dan UMNO terima sedemikian.
Justeru, mandat baharu perlu diperoleh melalui pilihan raya umum bagi memastikan tidak timbul lagi tuduhan kerajaan pintu belakang, tidak menang PRU lalu, namun berjaya membentuk kerajaan hanya melalui percaturan politik. Sedangkan pembangkang sebelum ini beria-ria untuk pilihan raya yang lebih demokratik, mendapat mandat baharu kerana yakin sebelum itu mereka menang besar.
Namun, kini kurang lagi berkumandang kerana kurang yakin dapat dimenangi jika diadakan Pilihan Raya Umum dalam tempoh enam bulan ini. Inilah ruang cuba dimanfaatkan oleh BN dan UMNO bagi menawan kembali Putrajaya dan menebus kekalahan mereka pada Pilihan Raya Umum 2018 yang lalu.
Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)