Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Simanggang telah menganjurkan sesi tutorial “Akses Google Classroom” untuk para ibu bapa murid pada 11 dan 12 September lepas.
Tutorial berkenaan bertujuan untuk membantu para ibu bapa menghadapi norma baharu dalam dunia pendidikan, di samping memperkasa golongan tersebut untuk membimbing pembelajaran anak-anak.
Yang Dipertua PIBGnya, Goh Kaw Sze berkata ia dikendalikan dalam bahasa Melayu dan bahasa Cina selama dua jam dengan ibu bapa bebas memilih sesi yang akan disertai mengikut kesesuaian masa masing-masing.
Bagi memastikan sesi itu dilaksana dengan jayanya kata beliau, kesemua ibu bapa murid dikehendaki membawa telefon pintar atau komputer riba masing-masing ketika menghadiri sesi tutorial berkenaan.
“Lebih 80 orang ibu bapa telah menghadiri sesi tutorial yang dibahagi kepada tiga kelas tersebut dengan beberapa orang guru yang lain bertindak sebagai penceramah bagi tujuan berkenaan.
“Program pembelajaran berkenaan nyata mendapat sambutan amat memberangsangkan dan akan merangsang pihak kita menganjurkan lebih banyak sesi pembelajaran untuk ibu bapa murid di sini pada mada depan,”kata beliau.
Selain itu Goh juga turut memberitahu bahawa usaha berkenaan adalah amat penting untuk membantu ibu bapa menghadapi perubahan dunia pendidikan yang amat rencam pada masa sekarang.
Justeru langkah PIBG SJK Chung Hua Simanggang menganjur aktiviti berkenaan adalah wajar bagi membolehkan ibu bapa membantu pembelajaran anak mereka dengan lebih berkesan dari semasa ke semasa.
“Kami berharap agar ibu bapa yang telah menyertai tutorial di sekolah ini akan menjadikan Google Classroom sebagai platform penting untuk pembelajaran tambahan untuk anak-anak mereka.
“Kami juga berharap agar ibu bapa yang menyertai tutorial ini dapat berkongsi hasil pembelajaran mereka dengan ibu bapa lain ke arah mempergiat pembelajaran secara atas talian pada masa akan datang,” kata beliau.
Sementara itu Goh menerusi tutorial berkenaan juga turut bertindak melancarkan Program Gerakan Merekrut Sukarelawan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SJK Chung Simanggang.
Katanya ibu bapa boleh menyertai kumpulan sukarelawan berkenaan dengan mendaftarkan diri menerusi pautan ‘Google Form’ yang disebar dalam kumpulan aplikasi WhatsApp kelas murid di sekolah mereka.
“Penglibatan ibu bapa dan komuniti setempat dalam usaha ini nanti akan dapat menyumbang kepada proses transformasi SJK Chung Hua Simanggang pada masa akan datang.
“Justeru kami menyeru semua ibu bapa murid agar bertindak menghulur sedikit tenaga, masa, kepakaran dan kasih sayang demi menjayakan pembelajaran anak anak dan kemajuan sekolah ini,” kata beliau.
Hadir sama Guru Besar, Chin Kui Nam, Naib Yang Dipertua PIBG, Abdillah Ahmad, Setiausaha Chai Li Hiong, Penolong Setiausaha, Olivia She, Bendahari, Tok Hun Seng, Penolong Bendahari Bong Ming Sia dan barisan Ahli Jawatankuasa PIBG SJK Chung Hua Simanggang yang lain.
Oleh Valentine Ngumbang