
BOSTON: Perlawanan terakhir Kumpulan I Piala Dunia antara Perancis dan Norway menghiasi tajuk berita utama menjelang pertembungan Kylian Mbappe dan Erling Haaland pada 3.00 pagi esok (waktu Malaysia), lapor Xinhua.
Dua bintang penyerang itu sudah pun tersenarai sebagai pesaing utama untuk Kasut Emas Piala Dunia, setelah kedua-duanya menjaringkan dua gol dalam setiap dua perlawanan pertama mereka.
Perancis dan Norway menyamai enam mata selepas dua perlawanan dan kedua-duanya sudah layak ke pusingan seterusnya.
Perancis mempunyai perbezaan gol yang unggul dan akan mara sebagai pemenang kumpulan dengan keputusan seri.
Haaland telah mengecilkan kepentingan perlawanan itu selepas kemenangan Norway ke atas Senegal, mengatakan bahawa sekadar kelayakan sudah memenuhi matlamat pasukan.
“Sejujurnya saya tidak terlalu mengambil berat (tentang perlawanan menentang Perancis),” kata penyerang Manchester City itu.
“Kami sudah lepas, kami berjaya melepasi, iaitu sesuatu yang luar biasa. Jadi saya tidak terlalu peduli dengan permainan itu sekarang. Mereka (Perancis) mungkin akan menang menentang kami, mereka mungkin akan memenangi keseluruhan kejohanan.”
Bagaimanapun, pemain tengah Perancis, Aurelien Tchouameni berseloroh mengenai komen Haaland pada sidang media praperlawanan pada Khamis.
“Anda percayakan dia?” kata Tchouameni.
“Sejujurnya saya tidak tahu sama ada dia bergurau atau tidak. Kami hanya akan kekal fokus pada diri sendiri, perlawanan demi perlawanan. Kami tahu kami perlu menang dan esok ialah pertempuran seterusnya.”
Pemain tengah Real Madrid itu menyifatkan penyerang Norway tersebut sebagai antara pemain paling berbahaya dalam bola sepak dunia.
“Dia boleh menjaringkan gol pada bila-bila masa. Itu sahaja, dia seorang pemain bertaraf dunia. Kami tahu dia sangat efisien di hadapan gol. Jadi kesilapan kecil, saat-saat singkat apabila kami tidak fokus sepenuhnya, kami boleh membayarnya dengan harga yang mahal,” katanya.
“Kami tahu kami akan menentang pasukan yang sangat kuat esok, namun kami akan bersedia untuk perlawanan itu.”
Tchouameni turut memuji Mbappe. “Kylian sentiasa luar biasa kuat. Sepanjang kariernya, dia sentiasa mengalami detik penting, terutamanya pada acara besar. Itulah yang membuatkan dia begitu istimewa. Dan dia masih membuktikannya di Piala Dunia ini,” katanya.
Jurulatih Norway, Stale Solbakken percaya kedua-dua penyerang itu mempunyai gaya yang berbeza, tetapi berkata kedua-duanya akan kekal di puncak permainan untuk tahun-tahun akan datang.
“Saya rasa kedua-dua mereka akan mempunyai banyak tahun yang baik di hadapan mereka dan boleh terus menjadi tajuk utama di seluruh dunia, saya agak pasti tentang itu,” katanya. – Bernama