EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Ferran Torres menyifatkan gol kemenangannya untuk Sepanyol pada final Piala Dunia awal pagi ini (waktu Malaysia), sebagai milik “47 juta rakyat Sepanyol, bukan hanya saya atau 26 pemain”.
Penyerang Barcelona itu menjaringkan gol pada babak kedua masa tambahan ketika Sepanyol akhirnya berjaya memecah kebuntuan menentang Argentina yang beraksi dengan 10 pemain, sebelum menang 1-0 di Stadium MetLife.
“Pada akhirnya, gol itu adalah milik 47 juta rakyat Sepanyol, bukan hanya saya atau 26 pemain,” kata Torres, merujuk kepada anggaran jumlah penduduk negara itu.
“Sudah tertulis bahawa kami akan menang jauh daripada penyokong sendiri, namun kami tetap membuatkan mereka berasa sedekat mungkin dengan kami,” tambah Torres yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan walaupun memulakan aksi sebagai pemain gantian.
Beliau berkata kemenangan itu memberikan kelegaan besar selepas berdepan pelbagai kritikan sepanjang kejohanan.
“Ia satu perasaan lega yang sangat besar. Saya menerima banyak kritikan sepanjang Piala Dunia, tetapi takdir sudah tertulis. Syukur kepada Tuhan yang sentiasa memberikan saya kekuatan untuk terus berjuang,” katanya.
Torres mengakui bukan mudah untuk membantu Sepanyol meraih kejuaraan Piala Dunia kedua selepas kejayaan pertama mereka pada 2010.
“Pada akhirnya, semua perlawanan akhir adalah sukar. Apabila anda berdepan (Lionel) Messi, pasti ada rasa gementar, tetapi kami sentiasa percaya kepada cara permainan kami dan kemampuan diri sendiri,” katanya. – AFP





