Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Piala Dunia: Apa dinyatakan Maradona 8 tahun lalu jadi kenyataan
  • KOLUMNIS

Piala Dunia: Apa dinyatakan Maradona 8 tahun lalu jadi kenyataan

Utusan Sarawak 6 hours ago

KENYATAAN legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona pada 2018 kini menjadi tular ketika Piala Dunia 2026 berlangsung di tiga negara dan mulai awal pagi esok (waktu Malaysia) mula memasuki peringkat suku akhir untuk lapan pasukan terbaik.

Sebelum bercerita lanjut kisah mengenai mendiang Maradona, mari kita lihat seimbas lalu elemen menarik sebelum pusingan suku akhir.

Kejutan

Pelbagai kejutan terbesar berlaku termasuk penyingkiran juara dunia lima kali Brazil oleh Norway pada pusingan 16 terbaik dan Mesir hampir mencipta sensasi apabila mendahului juara bertahan Argentina 2-0 sebelum tewas dramatik 3-2 hasil kebangkitan lewat. 

Selain itu, beberapa nama besar turut pulang awal iaitu Brazil (Neymar),  Portugal (Cristiano Ronaldo),  Jerman, Belanda dan Colombia . Lapan pasukan meneruskan saingan merebut kejuaraan ialah Perancis,  Maghribi, Sepanyol, Belgium, Norway, England, Argentina dan Switzerland.

Tumpuan juga pasti terarah kepada saingan merebut Kasut Emas Piala Dunia FIFA 2026 membabitkan Lionel Messi (Argentina) yang menyumbat 8 gol setelah pusingan 16 berakhir, Kylian Mbappe (Perancis) – 7 gol, Erling Haaland (Norway) – 7 gol dan Harry Kane (England) – 6 gol.

Lapan tahun lalu, Maradona pernah memberi amaran bahawa membawa Piala Dunia ke Amerika Syarikat akan menyebabkan bola sepak semakin dikuasai kepentingan komersial. Ini selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico sebagai tuan rumah Piala Dunia 2026.

Beliau dilaporkan berkata, ‘mereka akan membahagikan permainan kepada empat suku, bukannya dua babak, untuk memasukkan iklan. Bandingkan nanti, kamu akan lihat.” 

Ketika itu, ramai menganggap kenyataan tersebut sebagai sindiran terhadap budaya sukan di Amerika yang mempunyai banyak waktu rehat untuk siaran iklan.

Kini, apabila Piala Dunia 2026 memperkenalkan rehat hidrasi akibat cuaca panas, kenyataan Maradona kembali tular kerana penyiar memang menggunakan waktu rehat itu untuk menyiarkan iklan.

Namun, kenyataan mendiang Maradona tidak menjadi kenyataan secara literal kerana bola sepak masih dimainkan dalam dua babak 45 minit, bukannya empat suku seperti bola keranjang atau bola sepak Amerika. 

LEGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona.

Maradona juga pernah mengkritik FIFA kerana terlalu mengutamakan wang dan kepentingan komersial. Beliau beberapa kali menyatakan bahawa bola sepak semakin dikawal oleh pihak yang mengejar keuntungan berbanding menjaga kepentingan pemain dan penyokong.

Rehat hidrasi jual slot iklan

Hakikatnya, rehat hidrasi selama tiga minit bagi setiap separuh masa, membuka ruang kepada penyiar televisyen menjual slot iklan yang bernilai jutaan dolar.

Namun, dakwaan bahawa FIFA sendiri memperoleh keuntungan tambahan secara langsung daripada rehat itu, dikatakan tidak tepat.

Menurut FIFA, semua kontrak hak penyiaran dan penajaan telah dimeterai lebih awal sebelum kejohanan bermula.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, menegaskan bahawa rehat hidrasi diperkenalkan atas faktor kesihatan pemain berikutan cuaca panas melampau di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, dan bukannya untuk menambah pendapatan FIFA. 

Namun, penyiar televisyen adalah pihak yang mendapat manfaat paling besar. Sebagai contoh, penyiar Amerika Syarikat, Fox, dilaporkan menjual slot iklan semasa setiap rehat hidrasi. Penganalisis industri menganggarkan nilai keseluruhan iklan yang dijual sepanjang kejohanan boleh mencecah sekitar AS$250 juta (kira-kira RM1.02 bilion).

PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino. Foto AFP.

Pada masa sama, kontroversi tercetus kerana ramai berpendapat rehat itu mengubah identiti bola sepak yang selama ini dimainkan tanpa gangguan selama 45 minit setiap babak.

Pengkritik mendakwa:

  • Rentak permainan terganggu, terutama ketika satu pasukan sedang menguasai permainan.
  • Jurulatih mendapat ‘time-out’ tidak rasmi untuk mengubah taktikal.
  • Momentum pasukan lawan boleh terhenti.
  • Penyiar menggunakan peluang itu untuk menyiarkan iklan, menyebabkan bola sepak dilihat semakin menyerupai sukan Amerika Utara seperti NFL atau NBA. 

Walaupun begitu, ada juga pihak yang mempertahankan langkah tersebut. Dengan suhu di beberapa venue mencecah lebih 35°C dan indeks haba jauh lebih tinggi, pakar perubatan sukan berpendapat rehat hidrasi membantu mengurangkan risiko strok haba, dehidrasi dan keletihan melampau dalam kalangan pemain. 

Kesimpulannya, rehat hidrasi mencipta peluang iklan bernilai ratusan juta dolar kepada penyiar televisyen.

Namun, persepsi bahawa langkah itu mempunyai unsur komersial tetap kuat kerana penyiar jelas meraih manfaat, manakala ramai penyokong dan pemerhati percaya ia menjejaskan kelancaran serta ‘jiwa’ permainan bola sepak. 

David Beckham

Bayangkan, bekas kapten skuad kebangsaan England, David Beckham, terus membuktikan pengaruh luar biasanya apabila dilaporkan meraih pendapatan mencecah £19 juta (RM102 juta) hanya dengan menjadi ‘wajah’ pengiklanan sepanjang kejohanan Piala Dunia 2026.

Beckham, 51, muncul sebagai antara figura televisyen paling menonjol selepas melakonkan pelbagai aksi iklan komersial bagi jenama global terkemuka yang disiarkan sepanjang kejohanan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico itu.

Antara jenama gergasi yang menggunakan khidmat legenda bola sepak itu termasuk Pepsi, McDonald’s, Lay’s, Stella Artois, Home Depot, Bank of America, Verizon dan Adidas.

Visual membabitkan pemilik bersama kelab Inter Miami itu seolah-olah ‘menghujani’ kaca televisyen peminat bola sepak dunia, bermula daripada siaran sebelum perlawanan, waktu rehat separuh masa, sehinggalah ketika sesi rehat hidrasi terutama di televisyen negara Barat seperti dilaporkan media.

Bagaimanapun, menurut laporan agensi berita asing, kehadiran keterlaluan Beckham di skrin televisyen tidak disenangi sebahagian peminat yang menyifatkan lambakan iklan berkenaan sebagai mengganggu tumpuan mereka untuk menikmati aksi perlawanan.

Malah, ia turut mencetuskan perdebatan hangat mengenai pelaksanaan rehat hidrasi yang asalnya diperkenalkan untuk membolehkan pemain minum air dan menyejukkan badan kini didakwa dieksploitasi menjadi produk komersial televisyen.

Segelintir penyokong berpendapat, sesi rehat itu secara tidak langsung membahagikan perlawanan bola sepak kepada empat suku masa, berbanding format tradisi dua separuh masa.

Peminat di Amerika boleh menonton semua 104 perlawanan di Fox, FS1 dalam bahasa Inggeris selain StreaMix di Fox One dan Fox Sports app.

Liputan dalam bahasa Sepanyol di Amerika pula melalui Telemundo dan Universo, dengan StreaMix menerusi Peacock selain pengguna yang beralih ke platform penstriman melalui Fox dan FS1, termasuk Fubo, Hulu + Live TV, YouTube TV and DirecTV.

Bagi kita di Malaysia, terima kasih kepada RTM kerana kita boleh menonton siaran langsung Piala Dunia 2026 secara percuma melalui platform penstriman digital RTMKlik secara langsung (live) atau mengikut permintaan (on demand) melalui internet.

Antara ciri utama RTMKlik ialah:

  • Siaran langsung semua saluran TV RTM seperti TV1, TV2, Okey, Sukan RTM dan Berita RTM.
  • Penstriman stesen radio RTM.
  • Program ulangan, dokumentari, drama, berita, sukan dan rancangan hiburan yang boleh ditonton pada bila-bila masa.
  • Boleh diakses melalui laman web dan aplikasi mudah alih Android serta iOS.

RTMKlik diwujudkan bagi memenuhi perubahan tabiat penonton yang semakin cenderung menggunakan peranti mudah alih dan perkhidmatan penstriman berbanding televisyen tradisional. Ia juga membolehkan rakyat Malaysia mengikuti kandungan RTM di mana-mana sahaja selagi mempunyai sambungan internet.

Apa pun, kita sama-sama tunggu untuk menyaksikan pertembungan menarik pada final jam 3 pagi Isnin, 20 Julai ini (waktu Malaysia), pasukan mana muncul juara dan siapa pemain terbaik Piala Dunia FIFA 2026.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Antara politik mandat, kuasa wilayah dan ujian penyampaian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.