
BINTULU: Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Daerah Bintulu disaran memperkukuh peranan sebagai platform profesional dalam menangani isu pendidikan setempat secara lebih berkesan, selaras dengan cabaran sistem pendidikan masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, persatuan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai wadah kebajikan guru besar, tetapi turut berperanan sebagai penghubung penting antara sekolah dan pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan.
Menurut beliau, isu seperti transformasi digital, kesejahteraan guru, pengurusan sumber serta jurang pencapaian murid memerlukan pendekatan kolektif dan tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh pihak sekolah.

“PGBM mempunyai peranan strategik untuk menyelaras pandangan, mengemukakan cadangan serta memperkukuh jaringan profesional dalam kalangan guru besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PGBM Cawangan Daerah Bintulu Sarawak Tahun 2026 di NU Hotel di sini, hari ini.
Johnny Pang berkata, penglibatan aktif persatuan profesional pendidikan amat penting dalam menyokong usaha kerajaan memperkasa sistem pendidikan yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Katanya, kerjasama erat antara PGBM, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat mampu mempercepat penyelesaian kepada isu pendidikan di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong pembangunan sektor pendidikan di Bintulu khususnya kawasan Tanjong Batu melalui kerjasama strategik serta saluran peruntukan berkaitan.
“Saya berharap PGBM terus menjadi platform yang aktif, relevan dan progresif dalam memperjuang kepentingan pendidikan,” ujarnya.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pelantikan barisan kepimpinan baharu PGBM Cawangan Daerah Bintulu bagi sesi akan datang.
Oleh Carolyne Utih