
KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas sejumlah barangan seludup, produk sejuk beku serta ayam sabung keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3.05 juta dalam Op Taring Alpha dan Op Taring Awas yang dijalankan di negeri ini.
Komander Bridged Sarawak SAC, Dr Che Ghazali Che Awang berkata dalam serbuan pertama pada 9.00 malam tadi di Miri, PGA merampas 770,000 batang rokok putih dan 161,600 batang rokok kretek pelbagai jenama selepas menahan dua lelaki di sebuah premis disyaki menjadi tempat penyimpanan rokok seludup.
“PGA turut merampas dua kenderaan pelbagai guna (MPV) daripada kedua-dua lelaki berusia 22 dan 57 tahun itu dengan keseluruhan rampasan rokok dan kenderaan dianggar bernilai RM2.56 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam serbuan kedua di Lundu, Rabu lepas PGA menahan seorang lelaki berusia 53 tahun disyaki menyeludup enam tan beras menggunakan sebuah lori.
Kesemua beras dan lori dirampas dianggar bernilai RM221,600.
Serbuan ketiga pada 1.30 tengah hari semalam di Engkilili, PGA merampas tujuh ekor ayam sabung selepas menahan 10 lelaki berusia antara 35 hingga 78 tahun kerana disyaki terlibat aktiviti judi sabung ayam.
“Pelbagai alat, bahan untuk aktiviti perjudian serta sebuah kenderaan pacuan empat roda turut dirampas yang dianggar bernilai RM154,450,” katanya.
Beliau berkata dalam operasi sekitar 4.45 petang, Sabtu lepas pula, PGA merampas 152 kilogram produk makanan sejuk beku selepas menahan dua lelaki Indonesia berusia 43 dan 47 tahun di Lubok Antu.
Kesemua produk terbabit katanya disimpan di belakang ruang simpanan kereta jenis MPV manakala barangan dan kereta dirampas dianggar bernilai RM104,60. – Bernama