KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) meneruskan sokongan terhadap pembangunan bola sepak di Sarawak menerusi sumbangan sebanyak RM200,000 kepada Liga Perdana Sarawak 2026.
Sumbangan itu disampaikan Naib Presiden Kanan Petros bagi Modal Insan, Perhubungan Korporat dan Perkhidmatan, Ismail Said, kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato Fazzrudin Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Liga Perdana Sarawak 2026 merupakan edisi kedua kejohanan yang menghimpunkan kelab dan pemain bola sepak dari seluruh Sarawak.
Kejohanan itu menyediakan peluang kepada pemain untuk beraksi secara kompetitif, meningkatkan kemahiran serta menyumbang kepada perkembangan bola sepak di negeri ini.
Menurut Ismail, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Petros dalam memperkasa keterangkuman masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
“Sukan memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat dan memupuk semangat kekitaan yang kukuh.
“Melalui sokongan berterusan terhadap Liga Perdana Sarawak, kami berharap dapat menyumbang kepada pembangunan bola sepak di Sarawak, selain menyediakan peluang kepada pemain untuk berkembang, bersaing dan merealisasikan potensi mereka,” katanya.
Sokongan Petros terhadap kejohanan itu turut meneruskan kerjasama dengan FAS selepas menaja edisi sulung Liga Perdana Sarawak pada 2025.
Petros berkata, pihaknya kekal komited menyokong usaha yang dapat memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta memberi sumbangan positif kepada rakyat Sarawak.
Turut hadir Pengurus Perhubungan Korporat Petros, Muammar Quaddafi Abdul Razak, dan Ketua Komunikasi Strategik Petros, Aaron Gugkang.


