KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan memasang saluran paip gas yang boleh dipercayai dan selamat kepada 135 lagi isi rumah berpendapatan rendah di Quadruplex Taman Ceria (QTC), Permyjaya di Miri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, fasa kedua ini sedang berjalan dengan baik dan dijadual siap menjelang 2025.
Menurutnya, apabila projek tersebut selesai dilaksanakan, ia diyakini memberi manfaat kepada lebih 3,000 isi rumah di kawasan itu.
Beliau berkata Petros telah berjaya menyelesaikan fasa pertama projek ini kepada 13 isi rumah pada Februari lalu.
“Petros menanggung semua kos pemasangan yang diperlukan untuk menghantar gas terus ke dapur anda. Syabas kepada pasukan Petros atas pencapaian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Ulang Tahun Petros ke-7 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.
Abang Johari berkata Petros juga akan melancarkan inisiatif baharu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Inisiatif ini katanya, merangkumi program yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti kurikulum yang menyeluruh, yang tidak hanya menekankan kemahiran praktikal tetapi juga latihan mental serta panduan kerjaya.
“Tujuannya untuk memastikan pelajar lebih bersedia dan sesuai untuk memasuki pasaran kerja, sekaligus memenuhi keperluan industri di Sarawak,” katanya.
Terdahulu semasa berucap, Pengerusi Petros, Tan Sri Hamid Bugo menyatakan sambutan mencerminkan pencapaian penting Petros selain mengukuhkan komitmen untuk memacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak.
Ini termasuk sumbangan dalam sektor kesihatan, projek infrastruktur, serta pelancaran program Petros ‘Train and Place’ bertujuan untuk membangunkan bakat tempatan dalam sektor tenaga.