DALAM dunia korporat, perbezaan pendapat dan pertikaian sering berlaku, dan penyelesaiannya perlu dilakukan secara profesional, berlandaskan etika dan undang-undang. Dalam konteks isu yang melibatkan Petronas, Petros dan kerajaan Sarawak, prinsip ini amat penting kerana ia mencerminkan tahap kematangan dalam menangani konflik korporat. Sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara harmoni tanpa mengorbankan kepentingan semua pihak, sama ada di peringkat korporat atau kerajaan.
Pertikaian antara Petronas dan Sarawak mengenai hak terhadap sumber minyak dan gas negeri adalah contoh jelas kepentingan penyelesaian secara korporat yang berhemah dan bijaksana. Kerajaan Sarawak menuntut lebih autonomi dalam pengurusan dan pengawalan sumber asli mereka melalui syarikat Petros. Tuntutan ini berpotensi menjejaskan monopoli Petronas, yang sejak sekian lama menguasai sumber petroleum negara dan penyumbang besar kepada pendapatan negara. Sebenarnya secara lebih luas, pertikaian ini tidak hanya berkisar dalam soal undang-undang, tetapi juga melibatkan aspek politik, ekonomi dan kepentingan negeri yang lebih luas.
KETEGANGAN EKONOMI, POLITIK
Penyelesaian secara korporat dilihat mampu memberi peluang kepada Petronas dan Petros untuk menangani isu ini tanpa mencetuskan ketegangan yang lebih besar antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beliau mahu isu ini diselesaikan di peringkat korporat dengan Petronas tanpa melibatkan Kerajaan Persekutuan’, satu langkah yang bertujuan mengelak konflik politik. Ini adalah strategi penting bagi menjaga hubungan persekutuan-negeri dan integriti ekonomi negara.
Namun, pendekatan ini menghadapi kritikan kerana mungkin dianggap gagal memberikan keadilan kepada tuntutan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sarawak mempunyai hak autonomi tertentu ke atas sumber asli mereka, dan tuntutan mereka untuk kawalan penuh ke atas sumber minyak dan gas melalui Petros bukan sekadar soal ekonomi tetapi juga soal hak automomi yang diiktiraf sejarah. Dengan membiarkan perbincangan hanya di peringkat korporat, ia berisiko melemahkan pengiktirafan terhadap hak-hak negeri.
RISIKO TERHADAP KEYAKINAN PELABUR
Dari sudut korporat, Petronas dan Petros berdepan cabaran dalam mengekalkan keyakinan pelaburan antarabangsa. Pembeli utama gas asli cecair (LNG) Malaysia seperti Jepun dan Korea Selatan, menuntut jaminan kestabilan bekalan tenaga. Jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera dan bijaksana, ia boleh menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan tenaga dari Malaysia. Ketidakstabilan dalam pasaran tenaga ini boleh menggugat reputasi negara sebagai pengeksport LNG yang dipercayai.
Selain itu, jika pertikaian mengenai pihak mana satu yang mempunyai kuasa ke atas sumber gas di Sarawak tidak diselesaikan, ia boleh mencetuskan ketidakpastian dalam pasaran tenaga global. Pelabur mungkin meliha konflik ini sebagai risiko yang harus dielakkan, dan ini boleh menyebabkan pengurangan pelaburan dalam industri minyak dan gas di Malaysia. Keadaan ini berisiko menjejaskan daya saing Malaysia dalam pasaran tenaga antarabangsa.
DIMENSI UNDANG-UNDANG DAN STRATEGI PERUNDANGAN
Penyelesaian secara korporat juga bergantung kepada bagaimana undang-undang digunakan oleh pihak yang terlibat. Petronas, sebagai penjaga tunggal sumber minyak negara, telah mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk mempertahankan hak mereka. Syarikat ini dilihat akan memfailkan injunksi mahkamah sebagai langkah akhir mereka untuk menghentikan tindakan Sarawak yang cuba mendapatkan kawalan penuh ke atas sumber minyak dan gas melalui Petros.
Namun, pendekatan undang-undang ini juga boleh menimbulkan ketegangan yang lebih mendalam antara Petronas dan Sarawak. Sarawak dijangka akan melihat tindakan undang-undang Petronas sebagai cubaan untuk melemahkan hak autonomi mereka. Jika konflik ini dibawa ke mahkamah, ia melibatkan masa panjang berlarutan dan ini memberikan imej buruk kepada pelabur asing serta merosakkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. Ini akan menjejaskan bukan sahaja keyakinan pelabur tetapi juga perpaduan politik di dalam negara. Sebelum ini, Sarawak pernah membawa isu pertikaian ke mahkamah namun akhirnya mereka bersetuju penyelesaian secara rundingan.
KONFLIK ANTARA KEDAULATAN NEGERI, KUASA KORPORAT NASIONAL
Dalam sejarah perundangan Malaysia, terdapat asas kukuh untuk Sarawak menuntut kawalan ke atas sumber minyak dan gas dalam wilayahnya. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Ordinan Minyak dan Perlombongan 1958 (OMO) memberikan Sarawak hak istimewa dan kelebihan berbanding dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974), yang menyokong monopoli Petronas. Justeru, dari perspektif Sarawak, tuntutan untuk mengawal sumber minyak dan gas melalui Petros adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan semula hak-hak yang telah dijanjikan.
Berdasarkan sumber Kerajaan Persekutuan, Sarawak memiliki 60.87 peratus daripada rizab petroleum Malaysia, manakala Sabah menyumbang 18.8 peratus. Sarawak juga menyumbang hampir 90 peratus daripada eksport LNG negara. Pentadbiran negeri Sarawak, dibawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menuntut supaya Petros menjadi pengumpul tunggal minyak dan gas di negeri ini, mencabar monopoli Petronas yang wujud sejak 1974.
Sarawak berpendapat bahawa sumber minyak dan gasnya mesti dikawal berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958, yang menyatakan sumber dalam jarak 200 batu nautika dari perairannya adalah milik negeri. Namun, dari perspektif korporat nasional, Petronas mempunyai mandat untuk menjaga sumber tenaga negara. Ditubuhkan pada 1974, Petronas telah membina reputasi sebagai salah satu syarikat minyak terkemuka di dunia dan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan negara. Ini menimbulkan konflik kepentingan Petronas perlu mempertahankan monopoli mereka, sementara Sarawak berusaha mendapatkan autonomi yang lebih besar ke atas hasil bumi mereka.
Penyelesaian perbezaan ini di peringkat korporat, tanpa campur tangan Kerajaan Persekutuan dijangka dilihat sebagai langkah praktikal untuk mengelakkan ketegangan politik. Bagaimanapun, pendekatan ini boleh dianggap sebagai usaha untuk melemahkan hak autonomi Sarawak, menjadikan perdebatan ini lebih daripada sekadar isu perniagaan, ia menyentuh soal kedaulatan negeri dan keadilan sejarah.
KEPENTINGAN RUNDINGAN DAN DIPLOMASI BERTERUSAN
Penyelesaian korporat dalam konflik antara Petronas dan Sarawak bukanlah sesuatu yang mudah. Rundingan perlu bersifat terbuka, telus dan mengambilkira kepentingan semua pihak. Kerajaan Sarawak ingin mendapatkan hak penuh ke atas sumber asli mereka, manakala Petronas ingin mengekalkan kedudukan mereka sebagai syarikat minyak nasional yang memegang monopoli ke atas sumber tenaga negara.
Diplomasi berterusan antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan entiti korporat seperti Petronas dan Petros perlu dijalankan dengan teliti. Rundingan tidak seharusnya hanya melibatkan isu-isu ekonomi, tetapi juga hak-hak politik dan sejarah yang telah lama diperjuangkan oleh Sarawak. Ini termasuk mengiktiraf kepentingan perjanjian seperti MA63 dalam rundingan korporat.
KESIMPULAN
Menyelesaikan perbezaan pendapat antara Petronas, Petros, dan kerajaan Sarawak secara korporat adalah langkah yang paling berkesan jika kedua-dua pihak mampu mencapai persetujuan yang seimbang. Rundingan perlu mengambil kira aspek undang-undang, politik dan ekonomi serta hak-hak autonomi negeri Sarawak. Penyelesaian yang berlandaskan etika dan profesionalisme dalam dunia korporat akan membolehkan kedua-dua pihak mencapai hasil yang adil, tanpa menjejaskan hubungan persekutuan-negeri atau keyakinan pelabur antarabangsa.
Secara keseluruhannya, pendekatan rundingan korporat ini memerlukan keterbukaan kedua-dua pihak, dengan tujuan utama untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negara sambil mengiktiraf hak-hak negeri yang sah. Jika konflik ini diurus dengan baik, ia boleh menjadi contoh bagaimana rundingan korporat yang bijaksana dapat menyelesaikan isu-isu yang melibatkan kepentingan nasional dan negeri secara harmoni.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).