
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Carigali Sdn Bhd menandatangani beberapa perjanjian yang melibatkan aset huluan pengeluaran terpilih di Semenanjung dan Sarawak.
Langkah ini bagi memperkukuh komitmen untuk mencipta nilai jangka panjang bagi negara melalui pendekatan yang dipacu secara kerjasama.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas menyatakan bahawa perjanjian-perjanjian tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pengoptimuman portfolio yang lebih luas.
Selain itu, ia bertujuan membangunkan aset huluan secara bertanggungjawab dan mampan demi menyokong keterjaminan tenaga jangka panjang serta pembangunan industri di Malaysia.
Syarikat minyak nasional itu memaklumkan kerjasama berkenaan dijangka memanfaatkan keupayaan teknikal bersepadu dan pengalaman pihak-pihak terlibat dalam menguruskan aset medan minyak pasca gerudi serta aset di fasa penghujung hayat (late-life).
Ia sekali gus menyokong operasi berterusan dan pembangunan semula aset pengeluaran tersebut.
Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif Petronas Mohd Jukris Abdul Wahab kerjasama ini mencerminkan tanggungjawab syarikat untuk mengurus sumber negara secara berhemah selain memastikan penciptaan nilai yang berterusan untuk negara dan para pemegang kepentingannya.
“Memandangkan aset-aset ini semakin matang, penting untuk ia terus disokong oleh kerjasama yang tepat demi mengekalkan penciptaan nilai secara bertanggungjawab serta untuk jangka masa panjang.
“Ini termasuklah mewujudkan peluang bagi penyertaan negeri selain membawa masuk rakan kerjasama yang mempunyai keupayaan saling melengkapi serta pengalaman operasi yang relevan,” katanya.
Mohd Jukris yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan berkata pendekatan berkenaan akan membantu menarik pelaburan berterusan, memperkukuh keupayaan industri dan menyokong keselamatan tenaga Malaysia selain memastikan aset-aset berkenaan terus menjana nilai untuk negara.
Di bawah perjanjian tersebut, EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd akan mengambil alih peranan sebagai pengendali serta pegangan kepentingan penyertaan (PI) dalam Balingian PSC, SK8 PSC dan D35 PSC manakala turut menyertai sebagai rakan kerjasama bukan pengendali dalam PM6/12 PSC.
Komponen utama dalam pengaturan ini adalah penyertaan TI Exploration and Production Sdn Bhd (TI EP) dari Terengganu yang akan memegang PI sebagai bukan pengendali dalam PM6/12 PSC.
TI EP merupakan usaha sama di antara TI Petroleum Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Terengganu Inc iaitu cabang pelaburan strategik negeri tersebut dengan Ping Petroleum Ltd, sebuah syarikat huluan bebas yang mengkhusus dalam aset minyak dan gas penghujung hayat, khususnya projek pembangunan semula medan minyak pasca gerudi terutamanya di Laut Utara United Kingdom.
Petronas berkata penyertaan ini mencerminkan usaha berterusannya untuk memudahkan penglibatan lebih besar negeri-negeri dalam industri huluan Malaysia sekali gus membolehkan entiti berkaitan negeri membina keupayaan serta menyertai secara bermakna dalam pembangunan sumber petroleum negara.
Syarikat itu memberitahu kerjasama strategik ini menggabungkan kekuatan yang saling melengkapi bagi menyokong operasi aset huluan yang cekap dan mampan selain memudahkan pembelajaran operasi, pemindahan pengetahuan teknikal serta peningkatan keupayaan dalam sektor huluan Malaysia.
Dengan menggabungkan pemahaman mendalam Petronas mengenai sumber domestik dengan kepakaran khusus rakan-rakan kerjasama, pengaturan ini dijangka menyokong pengeluaran yang berterusan, memaksimumkan pemulihan sumber serta memperkukuh daya tahan ekosistem huluan Malaysia, tambahnya.- Bernama