PETRA JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melancarkan Kejohanan Bola Sepak Tertutup Belia Petronas 2024 di Stadium Negeri, di sini hari ini dengan penyertaan 56 pasukan belia dari seluruh negeri.
Sebanyak empat kategori akan dipertandingkan, iaitu kategori bawah 10 tahun (B10), B12, B14 dan B16.
Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu berkata, acara ini bertujuan untuk mencungkil bakat muda dalam sukan bola sepak, sekali gus mempromosikan gaya hidup sihat dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Katanya, kejohanan ini bukan sekadar pertandingan bola sepak tetapi juga satu inisiatif penting dalam pembangunan belia dan pemerkasaan komuniti.
“Kejohanan ini adalah sebahagian daripada komitmen Petronas untuk melabur dalam golongan muda yang berpotensi dan memberi mereka peluang untuk menyerlah.
“Kejohanan ini menawarkan platform yang berharga kepada belia untuk meneruskan minat mereka terhadap bola sepak dan pada masa sama memupuk sifat-sifat seperti disiplin, kerjasama dan daya tahan.
“Ia lebih daripada sekadar persaingan, ini adalah peluang bagi peserta untuk mengembangkan bakat dan membina karakter yang penting untuk kehidupan di luar padang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak Tertutup Remaja Petronas 2024 di Stadium Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga berharap kejohanan ini dapat membuka ruang kepada pemain-pemain muda untuk mula mengorak langkah menceburi kerjaya bola sepak profesional pada masa hadapan.
“Mungkin anak-anak yang menyertai kejohanan ini nanti bakal mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) atau mungkin menyarung jersi kebangsaan,”katanya.
Norazibah berkata, kejohanan ini juga dijangka akan membawa manfaat kepada sektor pembangunan sukan negeri, khususnya dalam bidang bola sepak.
“Ia menyediakan platform bagi jurulatih-jurulatih tempatan untuk memperagakan kebolehan mereka dalam membimbing pasukan dan pemain muda ke arah kecemerlangan.
“Setiap perlawanan yang dimainkan bukan sahaja mengasah kemahiran mereka, tetapi juga membentuk keperibadian mereka sebagai atlet dan individu. Saya menggalakkan semua pemain untuk menikmati pengalaman ini dan memberikan yang terbaik untuk pasukan mereka,” tambahnya
Oleh SHAHRUL QAIZAT