KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bergabung dengan United Nations Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMY & B) pada Sidang Kemuncak Maya Kemampanan Korporat 2020 – Go ESG ASEAN baru-baru ini untuk menempatkan kelestarian sebagai teras dalam usaha pemulihan perniagan di ASEAN.
Ia adalah susulan daripada deklarasi Sifar Bersih Pelepasan Karbon (NZCE) menjelang 2050 pada Oktober lepas.
Dalam satu kenyataan semalam, PETRONAS berkata, sidang kemuncak yang bertemakan “The Business of Recovering Better – A Resilient & Sustainable ASEAN by Design” yang diadakan pada 2 hingga 30 November telah mendapat penyertaaan dari dalam dan luar negara.
Naib Presiden untuk Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran Kumpulan PETRONAS, Dzafri Sham Ahmad pada sidang kemuncak itu berkata, strategi PETRONAS adalah untuk terus meminimumkan kesan jejak karbonnya dalam operasi sedia ada dan menggunakan lebih banyak teknologi penyelesaian karbon rendah.
” PETRONAS percaya ada peluang dalam mengembangkan portfolio karbon rendah dan meningkatkannya dalam penggunaan sumber kami untuk mengoptimumkan kos. Kami sudah melihat hasil positif melalui usaha yang kami lakukan dua dekad lepas untuk mengurangi pelepasan. Dalam tempoh sama, strategi teknologi kami juga meningkatkan kecekapan,” katanya.
Untuk mencapai aspirasi 2050 itu, Dzafri berkata, usaha dan kerjasama bersepadu diperlukan antara pembuat dasar, industri, pengguna dan pihak berkepentingan yang lain.
“Kerjasama akan menjadi pendorong utama bagi PETRONAS untuk mengembangkan perniagaannya dan menyokong agenda hijau dan bersih bersama dengan rakan kongsi kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNGCMY & B, Faroze Nadar berkata, peralihan fokus dalam mengubah semula model perniagaan adalah peluang untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran ekonomi mesra alam sekitar dalam menciptakan dunia yang kita mahukan iaitu pelepasan karbon sifar bersih.
Sehubungan itu, beliau berkata, ia bukan kembali kepada kebiasaan lama tetapi mengatur semula sistem global yang lestari dan bersepadu pada era pasca-pandemik Covid-19.
“Sidang kemuncak itu diadakan tepat pada masanya kerana ia menyediakan platform bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat dalam ASEAN untuk berkumpul dan memain peranan dalam isu iklim tersebut,” katanya.
Sidang kemuncak itu menampilkan penceramah global dan serantau termasuk ketua-ketua kerajaan dengan topik yang disusun mengenai trend kelestarian global, Prinsip UNGC 10 dan bidang keutamaan ASEAN.- Bernama