KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kekal menjadi rakan strategik Sarawak dengan peruntukan pelaburan yang besarnya kepada pembangunan negeri itu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Beliau berkata syarikat minyak dan gas negara itu akan sentiasa bertindak mengikut kepentingan negara dan tidak boleh terlibat dalam rundingan tanpa mempertimbangkan implikasi yang lebih luas kepada negara.
“Kami mahu Sarawak berkembang. Kami mahu membantu Sarawak merealisasikan cita-citanya.
“Namun, dalam situasi semasa, saya fikir kedua-dua pihak perlu untuk memahami kekangan yang dihadapi masing-masing,” katanya selepas mengumumkan prestasi kewangan Petronas bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, di sini, hari ini.
Tengku Muhammad Taufik berkata perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak masih diteruskan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
“Kami mahu terus menjadi rakan (strategik) Sarawak dan saya tahu ada di antara anda yang telah mempersoalkan ke mana hala tuju rundingan tersebut.
“Kami mahu membina kerjasama yang saling menguntungkan. Kami mahu saling membantu berkembang berdasarkan pemahaman terhadap kekuatan masing-masing, tetapi yang paling penting, kekangan yang dihadapi,” kata Tengku Muhammad Taufik.
Beliau menegaskan Petronas mempunyai peranan bukan sahaja sebagai syarikat tetapi juga berkhidmat untuk negara.
Berhubung sama ada isu pengagihan gas akan mempengaruhi pembayaran dividen kepada kerajaan, Tengku Muhammad Taufik berkata sebarang perubahan dalam pengaturan yang mengakibatkan pemindahan nilai di peringkat atasan pasti akan mempengaruhi keupayaan kewangan syarikat.
“Aliran tunai di Petronas inilah yang akhirnya menentukan kemampuan kami untuk pembayaran dividen.
“Mengenai implikasinya, keputusan masih belum ditentukan (belum pasti) kerana kita masih berunding. Sama ada ia akan membawa kepada tempoh hutang atau tidak masih lagi sesuatu yang perlu diselesaikan melalui perbincangan ini,” katanya. — BERNAMA
Gambar
Tengku Muhammad Taufik pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini – Foto BERNAMA