
KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.14 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 daripada untung bersih sebanyak RM1.17 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.
Kumpulan itu berkata, prestasi itu disebabkan oleh penurunan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), kemerosotan nilai aset di Perstorp serta pendapatan kewangan yang lebih rendah susulan pelarasan masa pembayaran perdagangan belum bayar.
Selain itu, turut menyumbang kepada penurunan iaitu kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PPCSB).
EBITDA kumpulan berkurang sebanyak 46 peratus tahun ke tahun kepada RM1.89 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata pendapatan bagi tahun berkenaan turut menyusut sebanyak 10 peratus kepada RM27.48 bilion daripada RM30.67 bilion.
Ini berikutan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada entiti operasi bersama dan segmen kepakaran serta harga produk yang lebih rendah.
PCG turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak empat sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025.
Dividen berjumlah RM320 juta yang akan dibayar pada 18 Mac 2026 menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan 2025 sebanyak RM560 juta.
Dalam pada itu, bagi tempoh suku keempat yang berakhir 31 Disember, 2025, PCG merekodkan kerugian bersih sebanyak RM754.0 juta daripada untung bersih sebanyak RM519.0 juta pada tahun sebelumnya disebabkan oleh EBITDA yang lebih rendah serta kerugian pertukaran asing tidak direalisasi yang lebih tinggi hasil penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada entiti operasi bersama.
EBITDA pula merosot sebanyak 84 peratus kepada RM115 juta terutamanya disumbangkan oleh kerugian pertukaran asing tidak direalisasi daripada penilaian semula liabiliti belum bayar di entiti operasi bersama.
Pendapatan pada suku keempat tahun kewangan 2025 menurun sebanyak 12 peratus kepada RM6.60 bilion berbanding RM7.45 bilion tahun sebelumnya.
Ini disebabkan sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada entiti operasi bersama, pengukuhan ringgit dan sumbangan hasil yang lebih rendah daripada segmen khusus yang sebahagiannya diimbangi dengan jumlah jualan yang lebih tinggi daripada segmen baja dan metanol.
PCG berkata, sektor kimia berdepan cabaran pada 2025 berikutan kapasiti berlebihan yang berterusan, permintaan global yang lemah serta tekanan persaingan yang meningkat di rantau Asia-Pasifik susulan kapasiti baharu di pasaran.
Katanya, keadaan lebihan bekalan yang berterusan dari Asia Timur Laut dan Timur Tengah serta perubahan dasar geo-ekonomik selain ketegangan perdagangan dan gangguan tarif terus menjejaskan akses pasaran, harga dan margin.
Kumpulan mencatatkan kadar pengunaan loji sebanyak 88 peratus bagi tahun berkenaan walaupun berdepan kerja penyelenggaraan besar yang dijadualkan termasuk aktiviti pemulihan di Petronas Chemicals Fertiliser Sabah.
PCG juga berdepan gangguan pengeluaran akibat gangguan utiliti yang tidak dijadualkan di Kertih Integrated Petrochemical Complex (KIPC) pada Januari serta gangguan stok suapan di Petronas Chemicals Fertiliser Kedah susulan insiden Putra Heights pada April 2025.
Bagaimanapun, kumpulan menunjukkan daya tahan merentasi portfolio yang pelbagai, disokong oleh prestasi kukuh untuk segmen baja & metanol (F&M).
Pencapaian ini dipacu oleh permintaan urea yang stabil di India, Australia dan Amerika Latin serta peningkatan jualan metanol melalui inisiatif perolehan strategik.
“Segmen olefin dan derivatif (O&D) mencatatkan prestasi yang lebih sederhana disebabkan harga purata produk yang lebih rendah berikutan permintaan hiliran yang menurun, ketegangan geo-ekonomi yang berterusan serta jumlah jualan yang lebih rendah,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mazuin Ismail memberitahu, sepanjang tahun berkenaan, kumpulan berdepan dengan pelbagai cabaran luaran dan dalaman yang kompleks selain memerlukan penyesuaian berterusan bagi memastikan prestasi serta pelaksaanan kekal mampan.
“Berikutan gangguan tidak dirancang yang berlaku seiring sepanjang pelaksanaan program berjadual, kumpulan melaksanakan semakan operasi dan membuat keputusan untuk menangguhkan sebahagian besar aktiviti penutupan loji ke tahun ini sebagai langkah proaktif bagi memastikan kesinambungan operasi dan kelangsungan perniagaan.
“Walaupun berdepan persekitaran yang mencabar, kumpulan mengekalkan operasi yang stabil dengan segmen O&D dan F&M yang mencatatkan kadar penggunaan loji melebihi 85 peratus,” katanya.
Melangkah ke hadapan, kumpulan menjangkakan pasaran O&D akan terus berdepan tekanan berikutan penambahan kapasiti baharu di China serta permintaan yang perlahan.
“Sementara itu, permintaan agrikultur yang kukuh di India dan Australia terus menyokong penggunaan baja manakala bekalan metanol dijangka kekal terhad berikutan aktiviti penutupan loji berjadual di Asia Tenggara.
“PCG akan terus memperkukuh daya tahan portfolionya melalui pengoptimuman aset, kecekapan kos dan operasi,” tambahnya.
-Bernama