Peterpan kembali cari ‘teman lama’ di Sarawak, cipta kenangan baharu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kumpulan muzik legenda Indonesia, Peterpan, menyifatkan kepulangan mereka ke pentas selepas sekian lama sebagai peluang untuk kembali bertemu ‘teman-teman lama’ di Sarawak.

Dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Sarawak selepas selesai sesi Lepak Bersama Peterpan di Star On Stage (SOS), kumpulan itu meluahkan rasa teruja dan bersyukur kerana berpeluang kembali menemui peminat, khususnya di Malaysia yang disifatkan mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan muzik mereka.

“Sudah bertahun-tahun kami tidak membawa nama Peterpan kembali ke atas pentas, jadi kesempatan ini terasa sangat istimewa.

“Malaysia, khususnya Sarawak, selalu mempunyai tempat istimewa di hati kami. Dari dulu kami tahu lagu-lagu Peterpan banyak menemani kehidupan masyarakat di sini. Jadi rasanya seperti kembali bertemu teman-teman lama,” ujar mereka.

Peterpan dijadual mengadakan persembahan pada konsert ‘Rock In The City’ (RiTC) 2026 di Kuching pada 29 Ogos ini, dengan kumpulan itu mahu menjadikan kemunculan berkenaan lebih daripada sekadar persembahan berasaskan nostalgia.

“Kami berharap nanti di Sarawak bukan hanya menjadi sebuah konsert, tetapi malam di mana kita boleh bernyanyi bersama, mengenang masa-masa indah dan menciptakan kenangan baharu,” tambahnya.

Menurut Peterpan, kekuatan muzik mereka sejak awal terletak pada kesederhanaan dan kejujuran dalam menghasilkan karya yang dekat dengan kehidupan pendengar.

Lagu-lagu berkisar tentang mimpi, persahabatan, kehilangan, cinta dan harapan dilihat terus merentasi generasi kerana tema berkenaan kekal dekat dengan pengalaman manusia.

“Mungkin kerana setiap orang pernah mengalami perkara-perkara itu, akhirnya lagu-lagu Peterpan boleh terus hidup dan dinikmati merentas generasi.

“Hari ini kami melihat bukan hanya generasi yang membesar bersama Peterpan, tetapi juga anak-anak muda yang turut menyanyikan lagu-lagu kami,” jelas mereka.

Bagi memastikan penampilan di Sarawak nanti meninggalkan kesan kepada peminat, persiapan dilakukan secara serius termasuk latihan, penyusunan semula aransemen dan persediaan visual.

“Kami mahu setiap orang yang datang merasakan pengalaman yang istimewa.

“Kami mahu apabila penonton pulang nanti, yang mereka ingat bukan hanya konsertnya, tetapi juga perasaan yang mereka rasakan pada malam itu,” kata mereka.

Menyedari peminat mempunyai kenangan yang sangat mendalam bersama lagu-lagu Peterpan, kumpulan itu turut mengakui ekspektasi tinggi menjadi antara cabaran terbesar dalam membawa kembali nama berkenaan ke pentas.

Namun, mereka tidak melihat kemunculan semula itu sebagai usaha untuk mengulangi masa lalu.

“Kami tidak datang untuk mengulang masa lalu, tetapi merayakannya bersama. Kami mahu menghormati semua kenangan itu sambil memberikan pengalaman baharu yang tetap membawa semangat Peterpan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan menghasilkan karya baharu, Peterpan berkata, fokus utama mereka ketika ini adalah menikmati peluang untuk kembali bertemu peminat di setiap lokasi persembahan.

“Untuk karya baharu tentu selalu ada kemungkinan, tetapi buat masa ini kami mahu menikmati perjalanan ini bersama para peminat,” katanya.

Dalam pada itu, perkembangan platform digital dilihat membantu memastikan karya-karya lama terus menemui pendengar baharu.

Lagu-lagu Peterpan yang sebelum ini didengari menerusi kaset dan cakera padat kini lebih mudah diakses menerusi pelbagai platform penstriman, sekali gus membolehkan karya mereka terus hidup dalam kalangan generasi baharu.

“Perkembangan digital membuatkan muzik boleh menjangkau lebih ramai orang. Itu membuatkan karya lama boleh terus hidup dan menemui pendengar baharu,” katanya.

Kepada peminat di Sarawak, Peterpan merakamkan penghargaan kerana terus menjaga lagu mereka sepanjang bertahun-tahun.

“Kami tahu ramai daripada kalian yang membesar bersama lagu ini. Ada yang mendengarnya ketika bersekolah, belajar di universiti, jatuh cinta, malah ketika menghadapi masa-masa sukar.

“Sekarang giliran kami datang menemui kalian,” ujar mereka.

Peterpan turut mengundang seluruh peminat di Sarawak untuk hadir menyaksikan persembahan mereka pada konsert ‘Rock in the City’ (RiTC) 2026 yang bakal berlangsung di Wisma Melayu, Jalan Diplomatik, Kuching pada 29 Ogos ini.

“Mari kita buktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan negara dan kenangan indah sentiasa boleh dipertemukan kembali.

“Sampai bertemu di Sarawak. Kami sudah tidak sabar menyanyikan lagu-lagu ini bersama kalian,” katanya.

Oleh Adele Rissa & Shikin Mahmud