KUCHING: Penyanyi tempatan, Zah mengakui peluang membuat persembahan bersama anggota asal kumpulan Peterpan menjadi antara detik paling berharga sepanjang perjalanan seninya, selain menjadi pemangkin untuknya terus bertahan dalam industri muzik.
Menurutnya, pengalaman itu cukup bermakna kerana Peterpan merupakan kumpulan yang mencetuskan minatnya terhadap muzik sejak di bangku sekolah.
“Waktu pertama kali membuat persembahan, memang teruja dan gembira walaupun agak gugup. Itu salah satu momen yang sangat berharga sebab dapat perform dengan band yang sejak kecil menjadi antara sebab saya minat muzik,” katanya ketika ditemui pada sesi bertemu peminat Peterpan sempena Rock in the City (RITC) 2026 di Star On Stage Kuching, hari ini.
Beliau berkata, minatnya terhadap muzik bermula sejak zaman persekolahan apabila beliau belajar bermain gitar menerusi lagu-lagu Peterpan sebelum aktif bersama kumpulan muzik, membuat persembahan gig dan busking.
“Bermula dengan minat terhadap muzik sejak sekolah. Saya mula bermain gitar dengan mendengar lagu Peterpan dan belajar memainkan lagu-lagu mereka. Kemudian saya mula bermain bersama band, membuat persembahan gig, busking dan seterusnya menyertai label dalam industri muzik Malaysia. Sekarang saya bergerak secara bebas dan masih lagi aktif bermuzik,” katanya.
Mengulas perancangannya, Zah berkata beliau kini dalam proses menyiapkan sebuah single baharu dan berharap dapat merealisasikan impian untuk menghasilkan album sendiri.
“Perancangan terdekat ialah menyiapkan single baharu yang masih dalam proses. Perancangan paling besar adalah mahu menghasilkan album sendiri. Insya-Allah, doakan semoga berhasil,” katanya.
Beliau berkata, peluang membuat persembahan bersama Peterpan turut menjadi batu loncatan penting untuk memperkenalkan dirinya kepada khalayak yang lebih luas.
“Semestinya ia salah satu batu loncatan, terutamanya untuk memperkenalkan diri kepada lebih ramai orang,” katanya.
Dalam pada itu, Zah mengakui sering dibandingkan dengan vokalis Peterpan, Ariel, kerana memiliki wajah yang seiras, namun menganggap perkara tersebut sebagai cabaran yang perlu dihadapi.
“Bila kita menyanyi dengan band yang legenda dan mempunyai karakter kuat menerusi vokalisnya, memang terasa bebannya kerana orang akan membuat perbandingan,” katanya.
Menurutnya, walaupun berasa gembira apabila dibandingkan dengan seorang penyanyi yang menjadi idola ramai, beliau tetap berusaha mengekalkan identiti sendiri.
“Memang gembira sebab disamakan dengan seseorang yang sangat diidolakan ramai, tetapi beban itu tetap ada kerana orang membuat perbandingan. Semampu mungkin saya cuba menjadi diri sendiri,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud




