Peta kemakmuran yang tidak sekata

Facebook
WhatsApp

MALAYSIA kelihatan semakin makmur apabila dilihat melalui kaca mata makroekonomi. Pada 2025, ekonomi negara berkembang 5.2 peratus dan Keluaran Dalam Negeri Kasar mencecah sekitar RM1.74 trilion.

Namun angka besar itu mempunyai satu sisi lain yang kurang selesa meskipun Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Perak sahaja menyumbang 73.2 peratus daripada keseluruhan ekonomi negara.

Peta tak sekata

Peta pertumbuhan kemakmuran kita, dengan kata lain, bukan peta yang sekata. Di sebuah pusat bandar, pertumbuhan ekonomi hadir sebagai bangunan baharu, jaringan pengangkutan, firma profesional, universiti, hospital dan pasaran pekerjaan yang pelbagai.

Di banyak kawasan pedalaman pula, pertumbuhan negara dirasakan melalui perkara yang lebih asas, berapa lama perjalanan ke pekan, berapa mahal mengangkut hasil pertanian, sejauh mana akses hospital boleh dicapai, dan sama ada pekerjaan yang tersedia mampu mengangkat sesebuah keluarga keluar daripada pendapatan rendah.

Di sinilah persoalan ketidakseimbangan ruang (spatial) menjadi sangat nyata. Ia bukan sekadar istilah teknikal dalam perancangan wilayah. Ia merujuk kepada keadaan apabila kelebihan ekonomi berkumpul dengan kuat di tempat tertentu, sedangkan ruang lain bergerak lebih perlahan.

ORANG ramai di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Akibatnya, geografi menjadi salah satu faktor yang menentukan peluang seseorang untuk mendapatkan pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan mobiliti sosial.

Sarawak paradoks

Pada 2025, KDNK per kapita negeri ini berjumlah RM73,784 lebih tinggi daripada purata nasional RM59,186. Sarawak berada dalam kelompok enam negeri dan wilayah yang mempunyai KDNK per kapita melebihi paras negara.

Namun kekayaan yang kelihatan pada akaun ekonomi negeri tidak menghasilkan gambaran yang sama apabila ukuran beralih kepada isi rumah.

Median pendapatan isi rumah Sarawak pada 2024 ialah RM5,504 sebulan. Ini isi media atau purata dan tidak mewakili pendapatan individu sebenar. Pun begitu median Malaysia ialah RM7,017. Sabah pula mencatat RM4,890. Pada hujung lain spektrum, Kuala Lumpur mencatat sekitar RM10,802 dan Selangor RM10,726. Perbezaan ini mengingatkan kita bahawa KDNK dan kesejahteraan tidak boleh dianggap perkara yang sama.

Bukan ukuran sebenar

KDNK menunjukkan nilai ekonomi yang dihasilkan dalam sesebuah wilayah. Ia tidak dengan sendirinya menjawab siapa memiliki syarikat yang mencipta nilai tersebut, siapa memperoleh kontrak utama, siapa mengisi pekerjaan berkemahiran tinggi, atau berapa banyak pendapatan yang akhirnya beredar dalam masyarakat setempat.

Sebuah wilayah boleh menjadi tapak kepada minyak, gas, tenaga, industri atau komoditi bernilai tinggi. Namun jika penguasaan modal, pekerjaan terbaik dan rantaian bekalan bernilai tinggi berada di luar komuniti tempatan, pertumbuhan berlaku di atas sesuatu ruang tanpa semestinya mengangkat masyarakat di ruang itu pada kadar yang sama.

Perbezaan menjadi jauh lebih tajam apabila kita tidak lagi melihat negeri sebagai satu unit tunggal dan mula membaca angka daerah.

Pada 2024, median pendapatan isi rumah Ulu Langat ialah RM11,404 sebulan. Song di Sarawak pula hanya RM2,525. Tebedu mencatat RM2,589, Lingga RM2,785, Kuala Krai RM2,877, Kota Marudu RM2,994 dan Pitas RM2,999.  Jurang antara Ulu Langat dengan Song melebihi empat kali ganda.

Hakikat kehidupan sebenar

Di sinilah purata nasional boleh menenangkan kita secara palsu. Dua keluarga boleh tinggal dalam negara yang sama, menggunakan mata wang sama dan berada di bawah dasar nasional yang sama, tetapi akses mereka terhadap peluang ekonomi boleh berbeza secara drastik hanya kerana mereka hidup di ruang yang berbeza.

Kemiskinan juga memperlihatkan pola geografi yang jelas. Pada 2024, kadar kemiskinan mutlak Malaysia ialah 5.1 peratus. Namun Sabah mencatat 17.7 peratus, tertinggi di Malaysia, manakala Kelantan ialah 11.5 peratus.

Perbandingan bandar dan luar bandar turut memperlihatkan jurang yang ketara: kadar kemiskinan bandar ialah 3.7 peratus, berbanding 10.0 peratus di luar bandar. (Dosm.gov.my).

Pendapatan bergerak dalam arah yang sama. Median pendapatan isi rumah bandar pada 2024 mencecah RM8,139, sedangkan isi rumah luar bandar hanya RM4,588, perbezaan itu kemudian memasuki kehidupan harian.

Ia mempengaruhi keputusan sama ada sesebuah keluarga mampu membayar pengangkutan ke hospital, menanggung pendidikan anak, membaiki kenderaan, membeli komputer atau menunggu pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan.

Dalam banyak keadaan, masyarakat pedalaman turut menanggung satu beban yang tidak kelihatan dalam slip gaji iaitu kos pengangkuran.

Semakin jauh seseorang daripada pasaran, semakin tinggi kos menghantar hasil. Semakin jauh daripada hospital, semakin besar kos masa dan pengangkutan. Semakin jauh daripada institusi pendidikan, semakin mahal mobiliti sosial. Ruang fizikal akhirnya menjadi kos ekonomi.

Asas kemudahan

Kemudahan asas menunjukkan pola yang sama. Pada 2024, 99.3 peratus isi rumah bandar mempunyai akses kepada air paip terawat, berbanding 89.8 peratus isi rumah luar bandar. Bagi perkhidmatan kutipan sampah, jurangnya lebih besar: 87.5 peratus di bandar tetapi hanya 33.1 peratus di luar bandar.

Begitu juga dunia digital. Akses internet isi rumah bandar pada 2024 ialah 98.8 peratus, berbanding 90.3 peratus di luar bandar. Penggunaan komputer pula ialah 86.5 peratus di bandar dan 64.3 peratus di luar bandar. (dosm.gov.my)

Dalam ekonomi moden, jurang ini membawa makna yang besar. Internet bukan lagi sekadar kemudahan komunikasi. Ia ialah saluran kepada pendidikan, pekerjaan, perdagangan, perkhidmatan kerajaan dan pengetahuan. Sebab itulah jurang digital hari ini merupakan sebahagian daripada jurang pembangunan.

Pembangunan pedalaman sebab itu tidak boleh berhenti apabila jalan raya siap. Jalan dan jambatan penting. Bekalan air dan elektrik ialah keperluan asas. Tetapi infrastruktur hanya menjadi alat pembangunan jika selepas itu muncul aktiviti ekonomi yang mampu menaikkan pendapatan masyarakat setempat.

Soalan yang sepatutnya ditanyakan ialah selepas jalan itu dibina, apakah industri yang hadir? Adakah TVET disesuaikan dengan keperluan daerah? Adakah petani dan nelayan bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi? Adakah perusahaan kecil tempatan mendapat kontrak?

Adakah hospital daerah diperkukuh? Adakah pekan tempatan berkembang menjadi pusat pertumbuhan baharu? Tanpa jawapan kepada soalan itu, jalan yang lebih baik kadangkala hanya mempercepat penghijrahan anak muda keluar dari kampung.

Pendekatan RMK13

Pendekatan RMK13 melalui Indeks Komposit Pembangunan Malaysia mempunyai nilai yang penting. Indeks tersebut mahu mengukur jurang sehingga ke peringkat wilayah, negeri dan daerah menggunakan dimensi fizikal dan spatial, ekonomi, sosial, alam sekitar serta tadbir urus.

Namun pengukuran hanya bermakna jika ia mempengaruhi agihan sumber. Malaysia memerlukan formula pembangunan yang mengambil kira kos geografi. Menyediakan perkhidmatan kepada 20,000 orang yang tinggal berdekatan antara satu sama lain di bandar tidak sama dengan menyediakan perkhidmatan kepada 20,000 penduduk yang bertaburan di kawasan pedalaman yang luas.

Memberi jumlah yang sama belum tentu menghasilkan keadilan. Keadilan menuntut sumber diagihkan berdasarkan halangan yang perlu diatasi. Pada masa sama, setiap pelaburan besar wajar dinilai melalui apa yang boleh disebut sebagai Indeks Limpahan Tempatan.

Jika projek RM10 bilion diumumkan, ukuran kejayaannya tidak boleh berhenti pada angka pelaburan. Kita perlu tahu berapa banyak pekerjaan bergaji tinggi diberikan kepada penduduk tempatan, berapa kontrak memasuki tangan syarikat tempatan, berapa ramai usahawan baharu muncul dan sama ada median pendapatan daerah benar-benar meningkat selepas beberapa tahun.

Sebuah kawasan tidak seharusnya kaya dengan sumber tetapi miskin dari segi peluang. Tidak masuk akal jika minyak, tenaga atau komoditi bernilai besar bergerak keluar daripada sesuatu wilayah sementara masyarakat di sekelilingnya kekal di bahagian bawah rantaian ekonomi.

Pada akhirnya, persoalan ketidakseimbangan spatial bukan tentang membina bandar raya di setiap daerah. Ia tentang memastikan jarak dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching atau Kota Kinabalu tidak menjadi hukuman ekonomi.

Harapan rakyat

Sebuah keluarga di pedalaman tidak meminta pencakar langit. Mereka memerlukan jalan yang menghubungkan mereka kepada pasaran, sekolah yang membuka mobiliti sosial, hospital yang boleh dicapai, internet yang berfungsi dan pekerjaan yang memberikan pendapatan bermaruah.

Kedudukan petempatan tidak lagi terlalu kuat menentukan masa depan seseorang. Kemakmuran tidak boleh berhenti di pusat ekonomi. Ia mesti bergerak hingga ke hujung jalan, ke daerah kecil, ke kampung dan akhirnya ke isi rumah kerana ukuran sebuah negara yang maju bukan sekadar seberapa terang pusatnya bersinar. Ukurannya ialah sejauh mana cahaya itu sampai ke pinggir !

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan  Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.