
SIMUNJAN: Pesta Simunjan 2025 terus berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian acara yang menarik perhatian pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk yang hadir dari luar daerah, hari ini.
Kehadiran orang ramai yang membanjiri lokasi utama pesta ini membuktikan sambutan yang luar biasa sekali gus menjadikan pesta berkenaan sebagai platform penyatuan komuniti serta wadah memperkukuh perpaduan rakyat.
Selain menyaksikan acara, pengunjung turut membanjiri gerai-gerai jualan yang disediakan di sekitar tapak pesta yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman serta produk tempatan dan terus mendapat sambutan hangat sejak awal pagi.
Pada sebelah pagi, Pentas Rakyat di Padang Sentral menjadi tumpuan dengan berlangsungnya Pertandingan Karaoke peringkat saringan yang mendapat penyertaan menggalakkan.

Dalam masa yang sama, tumpuan utama tetap tertumpu ke tebing Sungai Batang Sadong apabila acara Regata Pesta Simunjan membuka tirainya dengan penuh meriah pada hari pertama penganjuran.
Sebanyak 19 pasukan mengambil bahagian dalam enam kategori yang dipertandingkan dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM75,500.
Regatta ini akan mencapai kemuncaknya pada petang Ahad apabila Raja Sungai bakal dinobatkan dengan pemenang utama membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Tidak ketinggalan, pengunjung juga membanjiri Simunjan Kitchen yang menyajikan acara berkonsepkan kulinari.
Pertandingan Masakan ‘Nang Nyaman Nang Sedap’ serta Pertandingan ‘Kek Legend’ dan Kuih Tradisional yang berlangsung pada sebelah pagi telah berjaya menarik perhatian ramai sekali gus menonjolkan keunikan citarasa masyarakat tempatan.

Pada sebelah petang, acara kemuncak dijangka berlangsung apabila Majlis Perasmian Pesta Simunjan 2025 di Astaka Tapak Regatta digabungkan dengan Majlis Pelancaran Simunjan Kitchen 2025 di Simunjan Kitchen yang akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Majlis berprestij ini bakal menandakan pembukaan rasmi pesta secara keseluruhan di samping memperkenalkan Simunjan Kitchen sebagai ikon pesta yang mengangkat budaya kulinari tempatan.
Menjelang malam, Padang Sentral Simunjan dijangka menjadi pusat perhatian apabila Persembahan Pencak Silat Nilam Sari dan Pertunjukan Muaythai dipersembahkan di hadapan pengunjung.
Pertandingan akhir karaoke pula akan menghangatkan suasana sebelum pentas diserikan dengan persembahan artis tempatan, Gabriel Mawat dan Hijrah yang dijangka menutup tirai malam tersebut.
Pelbagai acara menarik yang berlangsung serentak di beberapa lokasi utama, Pesta Simunjan 2025 terus membuktikan peranannya sebagai pesta rakyat terbesar di daerah ini.
-UKAS