
SARIKEI: Sarikei sememangnya cukup sinonim dengan pelbagai jenis buah-buahan tropika, terutamanya buah nanas yang telah lama menjadi simbol kebanggaan dan identiti daerah ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, berkata bertitik tolak daripada potensi luar biasa tersebut, maka tercetuslah idea untuk menganjurkan Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei, sebuah acara tahunan berprestij dan sentiasa dinanti-nantikan setiap tahun.
Beliau berkata, penjenamaan semula itu merupakan langkah strategik dalam memastikan pesta tersebut kekal relevan, inklusif dan berimpak tinggi.
“Sejak pertama kali dianjurkan, pesta ini telah menjadi sebuah medium penting bukan sahaja dalam mempromosikan hasil pertanian tempatan, malah turut berperanan sebagai platform perpaduan yang menyatukan masyarakat berbilang kaum.
“Pada 2023, pesta ini telah mencecah edisi ke-18 iaitu satu pencapaian yang memperkukuh kedudukan Sarikei sebagai destinasi pelancongan domestik yang semakin mendapat perhatian,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran awal dan tinjauan mesra Pesta Sarikei (Sarikei Festival) 2025, bertempat di pekarangan Dewan Suarah Sarikei, tapak Pesta Sarikei 2025 pada hari ini.
Menurut beliau, dunia yang semakin moden dan berdaya saing menuntut perubahan secara berterusan.
“Justeru, penjenamaan semula ini bukan hanya melibatkan nama atau logo, tetapi mencerminkan komitmen kita untuk memartabatkan Sarikei sebagai pusat pertanian, pelancongan, budaya, inovasi dan komuniti yang progresif,” katanya.

Tema pesta kali ini, ‘Bersatu dalam Budaya, Kaya dengan Warisan’ (Unite in Culture, Rich in Heritage) katanya, dipilih sebagai simbol iltizam bersama untuk terus mengangkat budaya dan warisan sebagai aset penting dalam pembinaan masa depan.
“Bersempena pelancaran ini, saya mengajak seluruh warga Sarikei dan rakyat Sarawak untuk hadir memeriahkan Pesta Sarikei 2025. Sokongan anda amatlah dihargai,” tambahnya.
Majlis turut diserikan dengan lawatan beliau ke reruai pameran agensi kerajaan, institusi pengajian, serta ke Dapur Sarikei dan Jualan Agro Madani.
Turut hadir, Residen Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong, Jurutera Bahagian JKR Sarikei Ir. Ts. Kennedy Kedo, dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sarikei Sr Awan Amal.
Oleh Earl Anek