Pesta berasaskan CANFF pacu pelancongan, ekonomi Limbang

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LIMBANG: Penganjuran pelbagai pesta berasaskan konsep Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival (CANFF) terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan Limbang sebagai antara pintu masuk utama pelancong ke Sarawak.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pelbagai acara yang dirancang sepanjang tahun bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong, malah memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

 DATUK Dr Abdul Rahman Ismail meninjau persiapan Tapak Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 di Kampung Mengatai sempena kalendar pelancongan CANFF di Limbang. Foto UKAS.

Katanya, Limbang merupakan antara kawasan yang menyumbang kepada kemasukan pelancong ke Sarawak melalui Brunei Darussalam, Sabah dan Kalimantan.

“Dengan penganjuran program-program ini, ia akan merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi,” katanya ketika ditemui media selepas melawat Tapak Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 di Kampung Mengatai, hari ini.

Beliau berkata, antara acara utama yang bakal berlangsung ialah Pesta Makan Tahun Kedayan pada Ogos, diikuti Pesta Limbang dan Pesta Kebudayaan Masyarakat Tagal pada September, Pesta Badudun dan Lumba Kerbau pada Oktober serta Hari Belia, Limbang Motor Day, Tarik Tali Antarabangsa dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2027 pada November.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM250,000 bagi menaik taraf kemudahan di Kampung Mengatai sebagai persiapan penganjuran Pesta Badudun dan Lumba Kerbau.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman turut meninjau persiapan Pesta Makan Tahun Kedayan 2026 di Kampung Nauran yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos dan dijangka menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Beliau berkata, pesta tersebut bukan sahaja menjadi platform mempromosikan warisan dan budaya masyarakat Kedayan, malah dijangka merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi tempatan selaras dengan usaha menjadikan Limbang sebagai destinasi pelancongan yang lebih berdaya saing.

Selain itu, beliau menggalakkan setiap kampung menganjurkan sekurang-kurangnya satu program setiap tahun bagi menghidupkan suasana kampung, menarik kehadiran pelancong serta membuka peluang kepada penduduk mempromosikan produk tempatan dan kraftangan.

Katanya, pembangunan infrastruktur seperti Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR), Lebuh Raya Trans Borneo dan Lebuh Raya Pesisir Utara dijangka meningkatkan lagi jumlah pelancong ke Limbang, selain Tebingan Sungai Limbang yang kini menjadi tarikan selepas tular di media sosial.