TANJUNG MANIS: Pesta Belawai yang diadakan saban tahun, membawa rezeki lumayan kepada penjaja dan pengusaha inap desa di sini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pada pesta kali ini, semua inap desa di kawasan sekitar penuh ditempah.
“Banyak pendapatan dapat dijana oleh pengusaha homestay (inap desa) sepanjang Pesta Belawai 2024 dalam tempoh 10 hari,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Belawai 2024, hari ini.
Pada majlis itu, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang turut menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 kepada Jawatankuasa Pengelola Pesta Belawai yang diwakili oleh Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah.
Beliau berkata dengan siapnya Jambatan Batang Rajang di Bahagian Sarikei pada Mac tahun depan, ia menjadikan jarak perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis ini cuma mengambil masa lebih kurang 40 minit.
Katanya, limpahan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Sarawak dalam membangunkan Pantai Belawai dapat dilihat dari awal 1990-an lagi.
Beliau berkata kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bermula seawal memegang portfolio Menteri Perumahan sehinggalah menjadi Premier Sarawak, untuk hadir hampir setiap edisi Pesta Belawai.
Berikutan itu katanya, Premier Sarawak memberi gelaran Pantai Belawai seperti Pantai Hawaii
“Kemuncak kepada perjalanan pembangunan Pantai Belawai ini adalah kelulusan projek berjumlah RM161 juta iaitu pembangunan secara menyeluruh Pantai Belawai yang akan dapat disiapkan dalam masa tiga atau empat tahun akan datang.
“Beberapa projek sampingan yang dilaksanakan seperti penanaman tukun tiruan pada 2018 telah mula mendatangkan hasil apabila spesis ikan yang dahulunya jarang ditangkap oleh nelayan tempatan seperti ikan terubok telah mula ada.
“Premier Sarawak juga telah meluluskan pembangunan pembesaran Lapangan Terbang Tanjung Manis, hotel bertaraf tiga bintang dan padang golf yang bakal menjadikan Daerah Tanjung Manis menjadi tumpuan pengunjung-pengunjung dari luar,” katanya.
Oleh Earl Anek