Pesawat C919 khas sempena Sukan Kebangsaan China ke-15

Facebook
WhatsApp
PESAWAT C919 China Southern Airlines dicat khas dengan tema ‘Teluk Besar Mempesona’ sempena Sukan Kebangsaan China ke-15, menghubungkan Guangzhou dan Shanghai dengan semangat sukan dan identiti wilayah Greater Bay Area.


GUANGZHOU: Sebuah pesawat penumpang C919 yang dicat khas dengan elemen-elemen bertemakan Sukan Kebangsaan China ke-15, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou pada 12.27 tengah hari Selasa.

Pesawat yang membawa 157 penumpang itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hongqiao Shanghai selepas penerbangan kira-kira dua jam.

C919 merupakan pesawat pertama yang menampilkan tema “Teluk Besar Mempesona” sempena perasmian temasya sukan kebangsaan itu.

Sepanjang berlangsungnya Sukan Kebangsaan kali ini, pesawat itu akan beroperasi bagi laluan penerbangan antara Guangzhou dengan Shanghai.

Untuk rekod, Sukan Kebangsaan ke-15 dijadual berlangsung dari 9 hingga 21 November, dan buat kali pertama dianjurkan bersama oleh tiga wilayah iaitu Guangdong, Hong Kong dan Macau.

Pesawat C919 yang dikendalikan oleh China Southern Airlines telah beroperasi selama lebih setahun dengan rekod cemerlang membawa lebih 590,000 penumpang ke pelbagai destinasi.- Bernama-CMG