ASTANA: Sebuah pesawat penumpang milik Azerbaijan Airlines yang dalam penerbangan dari Baku ke Grozny terhempas di lapangan terbang Aktau, Kazakhstan, menurut Kementerian Situasi Kecemasan Kazakhstan pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut kenyataan kementerian itu, pesawat berkenaan ditemukan sedang terbakar sebaik pasukan penyelamat tiba di lokasi nahas.
“Seramai 52 anggota bersama 11 unit jentera Kementerian Situasi Kecemasan Kazakhstan dikejarkan ke lokasi. Pasukan penyelamat segera menjalankan operasi memadam kebakaran,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, maklumat mengenai mangsa masih dalam proses pengesahan.
Namun, laporan awal menunjukkan terdapat mangsa yang terselamat.
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan Kazakhstan memaklumkan bahawa insiden itu akan disiasat secara terperinci. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI