
KUCHING: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun kerugian RM111,245 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan komisen lumayan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung kes itu hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berada di rumah telah melayari laman Facebook dikenali sebagai “RWESHOPS” dan berminat dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang ditawarkan.
“Mangsa diberikan beberapa tugasan dan diarahkan membuat pembayaran terlebih dahulu untuk memperoleh komisen yang lebih tinggi. Sepanjang menyertai skim tersebut, mangsa telah melakukan 24 transaksi pembayaran ke dalam enam akaun bank berbeza seperti yang diarahkan suspek,” katanya.
Alexson berkata mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang dan komisen yang dijanjikan.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM111,245.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan di media sosial yang menjanjikan keuntungan tinggi atau pulangan mudah.
Beliau turut menggesa orang ramai membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon yang mencurigakan melalui portal Semak Mule serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam sekiranya menyedari telah menjadi mangsa penipuan.
Oleh Connie Chieng