IPOH: Walaupun sudah 40 tahun berlalu, pengalaman menyamar sebagai anggota komunis semasa bertugas sebagai anggota F-Team, sebuah pasukan elit rahsia Polis Diraja Malaysia (PDRM), masih terpahat kukuh dalam fikiran DSP (B) Kamarudin Hashim.
Kamarudin, 73, atau lebih dikenali sebagai “Kenny” semasa bergiat aktif dalam pasukan itu berkata beliau menyamar sebagai anggota komunis ketika menyertai Operasi Kelah yang dilaksanakan kira-kira setahun di Kuala Lipis, Pahang pada 1982.
“Saya melakukan penyamaran (kerana mahu menangkap anggota pengganas dari Parti Komunis Malaya semasa operasi berkenaan) pakai baju komunis tetapi saya diam sahaja sebab saya tidak pandai berbahasa Cina.
Saya hanya duduk, angkat tangan dan tabik hormat dengan anggota komunis yang lain. Apabila rakan-rakan saya (anggota F-Team) dapat menyelinap masuk untuk menggempur kem komunis, saya pun turut serta membantu mereka menangkap anggota komunis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program bual bicara perjuangan bersama bekas anggota polis sempena sambutan Hari Kebangsaan anjuran Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta dan Pertubuhan Amal Sahabat Perak di Dewan Komuniti Kampung Kuala Pari di sini semalam.
Kamarudin yang berkhidmat selama 23 tahun dengan PDRM berkata, Operasi Kelah yang disertai kira-kira 30 anggota F-Team dapat menawan 24 anggota termasuk ketua komunis Unit Penggempur Ke-16 serta merampas sejumlah besar senjata api dan alat komunikasi yang dibawa mereka dari Selatan Thailand.
Carian di Internet mendapati, pada 1982, Operasi Kelah dilancarkan ke atas Unit Penggempur Ke-16 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyusup masuk dari Selatan Thailand melalui Banjaran Titiwangsa dari Perak dan Kelantan menuju ke selatan sehinggalah sampai ke Kuala Lipis, Pahang.
Misi mereka ialah menghubungi Unit Penggempur Ke-6 untuk memberi bantuan senjata api dan alat perhubungan tambahan.
Operasi Kelah ini dilaksanakan sendiri oleh pasukan F-Team, tanpa bantuan dari lain-lain pasukan keselamatan dan hasilnya berjaya menghalang pertemuan dan penyatuan kedua-dua unit penggempur berkenaan. – Bernama