
KOTA PADAWAN: Pesanan seorang guru mengenai kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diterimanya ketika berusia 12 tahun terus terpahat dalam ingatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang sehingga hari ini.
Menurut beliau, individu yang paling memberi inspirasi dalam hidupnya ialah bekas tokoh pendidikan dan pemimpin masyarakat, Datuk Amar James Wong Kim Min, ketika beliau masih menuntut di Sekolah St. Thomas.
Lo berkata, beliau masih mengingati dengan jelas kata-kata yang disampaikan dalam satu perhimpunan sekolah yang meminta pelajar supaya memahami dan mendalami MA63 demi masa depan Sarawak.
“Saya masih ingat ketika berada di Tahun Enam, Dato James Wong Kim Min berpesan kepada kami bahawa walaupun kami masih muda, apabila dewasa nanti jangan lupa membaca dan memahami MA63.
“Pesanan itu kekal dalam fikiran saya sehingga hari ini dan sejak itu saya sentiasa cuba memahami MA63 dengan mendapatkan pandangan daripada ramai ahli politik senior di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada majlis ramah tamah Pra-Gawai Taman Country Wood dan Taman Kota Padawan di Batu 11, hari ini.
Menurut beliau, MA63 merupakan instrumen penting yang menjaga hak serta kebajikan rakyat Sarawak dan generasi muda perlu terus didedahkan dengan pemahaman mengenai perkara tersebut.
“Hari ini saya pula ingin menyampaikan perkara sama kepada golongan muda. Apabila dewasa nanti, jangan lupa mengkaji dan memahami MA63 kerana ia amat penting untuk masa depan rakyat Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Lo turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di Sarawak sambil menyifatkan profesion perguruan sebagai kerjaya paling mulia dan penting dalam membentuk generasi pemimpin masa depan negeri ini.
Katanya, tugas seorang guru bukan sekadar mengajar, malah proses pendidikan turut menjadikan seseorang pendidik terus belajar dan memperbaiki diri sepanjang masa.
“Semakin lama seseorang berada dalam profesion perguruan, semakin banyak ilmu dan pengalaman diperoleh kerana guru berdepan dengan pelajar daripada pelbagai latar belakang dan karakter.
“Profesion guru ialah profesion paling penting kerana merekalah yang membentuk pemimpin masa depan Sarawak. Saya dan seluruh rakyat Sarawak amat menghargai jasa semua guru,” katanya.
Oleh Adele Rissa