
SIBU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meluluskan RM7.8 juta peruntukan tambahan untuk mengatasi isu kulat di Hospital Sibu.
Menurutnya, isu kulat sudah lama berlaku di Hospital Sibu, dan peruntukan dana tersebut adalah untuk mengatasinya secara menyeluruh.
“Saya juga meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.3 juta untuk untuk perolehan peralatan perubatan dan kerja-kerja baikpulih.
“Ini termasuk RM900,000 berkaitan dengan peralatan dan RM400,000 berkaitan dengan apa yang dikatakan sebagai projek kerja,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Hospital Sibu, hari ini.
Terdahulu, Dr. Dzulkefly bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Jalan Oya, Klinik Kesihatan Lanang dan Klinik Kesihatan Sibu Jaya.
Sebuah taklimat berkenaan situasi banjir dan perancangan jangka panjang pembangunan fasiliti kesihatan turut diadakan sewaktu lawatan kerja kedua-dua Menteri ke Hospital Sibu.
Dr. Dzulkefly berkata, lawatan kali ini tertumpu kepada tinjauan dan respons Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap situasi banjir, impak banjir kepada fasiliti kesihatan.
“Saya juga mahu tahu langsung atas kedudukan fasiliti-fasiliti KKM ini dalam mengalami ataupun dalam mengharungi antara banjir terburuk.
“Meskipun saya tidak sempat untuk pergi kepada mana-mana PPS, tetapi yang mustahaknya untuk saya kenal pasti dan untuk saya langsung mendapat laporan daripada pengarah Dr. Veronica (Pengarah Kesihatan Negeri Dr Veronica Lugah) dan yang lainnya.
“Pasukan KKM di lapangan memberi sepenuh tumpuannya, saya ucapkan tahniah dan sangat menghargai usaha gigih mereka, kakitangan kita yang berada di PPS masih lagi bertugas walaupun mereka menjadi mangsanya (mangsa banjir). Mereka memberikan sepenuh tumpuan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan mangsa banjir terjamin,” katanya.
Katanya, petugas kesihatan membuat saringan kesihatan dan pemantauan berterusan dan pihaknya pastikan sokongan mental.
“Beberapa penyakit berjangkit, kita telah kenal pasti tetapi ditangani dengan baik, tidak ada yang memerlukan untuk dimasukkan ke wad.
“Penjagaan kebersihan kendiri dan pengurusan kebersihan persekitaran adalah penting untuk kita terus mencegah sebarang penyakit pasca banjir ini. Semua ini adalah sangat penting untuk kita pastikan selepas banjir rasanya Leptospirosis dan juga Cholera dan sebagainya,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting, Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu serta yang lain.
Oleh Akun Giman