Peruntukan tambahan perkukuh pelaksanaan PERSADA, percepat pendigitalan sektor kesihatan awam – MCMC

Facebook
WhatsApp
MCMC memaklumkan peruntukan tambahan RM350 juta itu akan melengkapi usaha pendigitalan di klinik kesihatan dan hospital awam. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta yang menjadikan jumlah keseluruhan RM1 bilion dijangka memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan tambahan itu turut melengkapi usaha pendigitalan yang sedang dirancang di klinik kesihatan dan hospital awam.

“MCMC menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan tambahan bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam, termasuk memperluas ketersambungan Internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).

“Langkah ini penting dalam merealisasikan aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod’, sekali gus membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.

MCMC memberitahu bahawa kerjasama rentas kementerian itu dijangka mempercepat usaha pendigitalan yang dijangka pada 2045 kepada tahun hadapan.

Menurut MCMC, pendigitalan perkhidmatan kesihatan dapat memudahkan urusan rawatan, mengurangkan masa menunggu dan kos tidak langsung, khususnya bagi golongan B40 dan M40, selain dijangka memberikan manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan dan hospital awam.

“MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh, saling berhubung dan bersedia untuk masa hadapan demi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan mudah diakses oleh rakyat,” menurut kenyataan itu.

Selain tambahan peruntukan berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan hari ini mengumumkan lima ikhtiar lain iaitu mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan; peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 akan ditingkatkan sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion; serta Program AI untuk Rakyat yang dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.

Turut diumumkan ambang pengecualian e-Invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun dan kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah sebanyak RM1 bilion menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.

Kesemua ikhtiar berkenaan akan berkuat kuasa 1 September. -Bernama