
KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi menyokong usaha menaik taraf kemudahan kesihatan serta meningkatkan kecekapan operasi hospital berkenaan.
Dr Kelvin Yii berkata, peruntukan terbaharu itu akan digunakan untuk mendapatkan tambahan peralatan perubatan, komputer serta penambahbaikan fasiliti bagi membantu petugas kesihatan memberikan rawatan yang lebih cekap dan berkualiti kepada pesakit.
“Sebagai institusi kesihatan awam utama di Sarawak, HUS terus berdepan peningkatan permintaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan berjalan lancar dan berkesan.
“Oleh itu, penting untuk doktor, jururawat dan kakitangan perubatan dilengkapi dengan peralatan serta infrastruktur yang boleh dipercayai supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih efektif dan efisien demi rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan terbaharu itu digunakan untuk membeli 60 kerusi bersambung baharu bagi beberapa wad serta 21 komputer baharu untuk meningkatkan operasi hospital dan perkhidmatan kepada pesakit.
Menurut beliau, komputer yang dinaik taraf itu telah meningkatkan kecekapan aliran kerja doktor dan kakitangan kesihatan, khususnya dalam pemprosesan keputusan makmal serta akses kepada rekod perubatan pesakit dengan lebih pantas.
“Sebelum ini, komputer lama sering mengalami masalah perlahan dan perlu dimulakan semula, sekali gus mengganggu operasi harian serta melambatkan proses bagi kakitangan dan pesakit.
“Komputer baharu yang dibeli melalui peruntukan ini telah mengurangkan gangguan tersebut dan menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih lancar dan cepat,” katanya.
Beliau berkata, kerusi juga diganti bagi meningkatkan keselesaan serta kemudahan menunggu untuk pesakit dan pelawat di beberapa wad, sekali gus mewujudkan persekitaran hospital yang lebih kondusif.
Dr Kelvin Yii menegaskan bahawa petugas kesihatan sentiasa berada di barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan sokongan kepada institusi kesihatan awam perlu terus menjadi keutamaan.
“Kami berharap sumbangan tambahan ini dapat terus memperkukuhkan kapasiti HUS dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang cekap, mudah diakses dan berkualiti untuk seluruh rakyat Sarawak.
“Saya kekal komited untuk menyokong inisiatif yang meningkatkan infrastruktur kesihatan awam, kesejahteraan pesakit serta persekitaran kerja petugas barisan hadapan perubatan,” katanya.
Oleh Connie Chieng