KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berada pada landasan tepat ke arah pemulihan dengan pertumbuhan tahunan dijangka kekal positif antara 3.0 peratus dan 4.0 peratus pada 2021 dan terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, meskipun berdepan cabaran sepanjang suku ketiga 2021, pelbagai indikator ekonomi utama sebaliknya menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh terutama apabila negara memasuki suku keempat 2021 dan menuju kepada 2022.
“Ini termasuk penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurangan kepada 4.5 peratus pada September serta lonjakan eksport sebanyak 24.7 peratus dan peningkatan 11.6 peratus dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan sama.
“Tambahan pula, kita menyaksikan peningkatan dalam kedua-dua indeks keyakinan perniagaan dan pengguna yang dipantau oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) serta mencatat pelaburan langsung asing (FDI) bersih RM12.8 bilion pada suku ketiga 2021, sekali gus menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM30 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia telah mengunjurkan ekonomi Malaysia tumbuh pada 6.0 peratus dan 5.8 peratus bagi 2022.
Menurut Tengku Zafrul, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 3.0 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 berbanding penguncupan 6.4 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.
Jelas beliau, prestasi KDNK ini mengambil kira penguncupan sebanyak 4.5 peratus tahun-ke-tahun pada suku ketiga 2021 yang menggambarkan cabaran yang dihadapi berikutan langkah pembendungan yang ketat untuk mengekang lonjakan kes baharu Covid-19 berikutan kemunculan varian yang membimbangkan (VOC) dan lebih berbahaya.
Dari segi prestasi bulanan KDNK, penguncupannya juga semakin mengecil kepada 1.1 peratus pada September berbanding 7.6 peratus pada Julai dan 4.7 peratus bagi Ogos 2021 yang mencerminkan peningkatan dalam aktiviti ekonomi dan sosial, susulan peningkatan momentum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan seterusnya membolehkan lebih banyak negeri beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, katanya.
Melangkah ke hadapan, Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi serta permintaan luar yang kukuh, terutamanya daripada rakan dagang utama.
“Kerajaan akan terus melindungi nyawa dan kehidupan rakyat daripada ancaman Covid-19 di samping memastikan prospek pertumbuhan ekonomi jangka sederhana hingga panjang negara akan kekal kukuh.
“Selain itu, kerajaan juga komited untuk memberi tindak balas secara strategik, proaktif dan tegas serta mengurangkan kesan ekonomi jangka panjang akibat pandemik Covid-19,” katanya.- Bernama