BINTULU: Pertubuhan komuniti memainkan peranan penting dalam menghidupkan sambutan Hari Sarawak menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang menggalakkan penyertaan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, inisiatif yang digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan dan kelab komuniti membolehkan sambutan Hari Sarawak diraikan secara lebih dekat dengan masyarakat.
“Tahun ini, sambutan Hari Sarawak diadakan di Sibu, namun di Bintulu kita turut meraikannya menerusi penganjuran konvoi yang dianjurkan oleh beberapa kelab 4×4 Bintulu.
“Program ini bukan sekadar konvoi santai, tetapi menjadi simbol semangat cintakan Sarawak dan kebersamaan rakyat sempena Hari Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum melepaskan peserta Himpunan Keluarga 4×4 Hari Sarawak Vol. 3 di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Program anjuran bersama Kelab Pacuan Empat Roda BTC, Kelab Pacuan Empat Roda CHAMO dan Kelab Pacuan Empat Roda BBKC itu disertai 13 kenderaan pacuan empat roda yang berkonvoi dari Dewan Suarah Bintulu melalui Jambatan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Jambatan Tanjong Batu dan Jalan Persisiran Pantai sebelum berakhir di Pantai Batu Mandi, Similajau.
Menurut Johnny Pang, penglibatan aktif pertubuhan komuniti dalam menganjurkan program sempena Hari Sarawak bukan sahaja memeriahkan sambutan, malah memperkukuh hubungan antara masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program itu dan berharap lebih banyak pertubuhan tampil menganjurkan aktiviti kemasyarakatan sempena Hari Sarawak pada masa akan datang.




