DARO: Kerusi Parlimen Igan menyaksikan persaingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.
Pertembungan itu menampilkan sekali lagi Ahmad Johnie Zawawi mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU-14.
Beliau dicabar calon Pakatan Harapan dari Parti Amanah Negara (AMANAH), Andri Zulkarnaen Hamden.
Ia adalah pertembungan ulangan seperti PRU-14 membabitkan dua calon yang sama.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Igan, Bujang Rahman Seli mengesahkan perkara itu, sebentar tadi.
Ahmad Johnie tiba diiringi ADUN Daro, Safiee Ahmad dan ADUN Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya dari Masjid Daerah Daro ke pusat penaman calon di Dewan Masyarakat Daro kira-kira jam 8.30 pagi.
Ahmad Johnie yang diiringi pencadang Hamden Taha dan penyokong, Muhammad Al-Faizy masuk ke dalam Dewan Masyarakat Daro jam 9.05 pagi dan menyerah borang pencalonan 9.07 pagi.
Ribuan penyokong GPS/PBB melaungkan slogan GPS bagi menghangatkan suasana di hari penamaan calon.
Sementara lawannya, Andri Zulkarnaen bersama pencadang, Karapawi Suhaili dan penyokong, Sapian Bohari.
Pada PRU14, Andri ketika itu mewakili PKR, namun kini beliau berdiri atas tiket AMANAH.
Parlimen Igan pada PRU-14 menyaksikan kemenangan berpihak kepada Ahmad Johnie yang memperoleh 10,538 undi dengan 8,495 majoriti menewaskan Andri yang hanya mendapat 2,043 undi.