LONDON: Ruben Amorim mengakui Manchester United bergelut untuk menyelamatkan diri daripada tersingkir ke liga bawahan dan beliau tidak akan mendapat simpati daripada pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.
Harapan Manchester City untuk terselamat daripada musim hambar mereka terletak di bahu Erling Haaland yang menemui semula sentuhan jaringannya, manakala Chris Wood muncul bintang keramat dalam usaha mengejut Nottingham Forest memburu penamat empat teratas.
Pengakuan mengejut Amorim betapa Manchester United perlu bimbang mengenai turun divisyen mengesahkan masalah besar membelenggu jurulatih berbangsa Portugis itu menjelang kunjungan getir menentang Liverpool, Ahad ini.
United terdampar di tangga ke-14, hanya tujuh mata di atas zon penyingkiran, selepas kalah 2-0 di laman sendiri menentang Newcastle Isnin lalu.
Amorim gagal menangani kemerosotan teruk United sejak menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada November lalu.
United mengakhiri 2024 dengan mengalami lima kekalahan dalam liga bagi tempoh sebulan buat kali pertama sejak September 1962.
Mereka menuju ke Liverpool dengan rekod buruk empat kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan dan enam kekalahan dalam lapan aksi terakhir mereka.
Dengan Liverpool unggul enam mata di puncak selepas catatan mengagumkan 23 kemenangan daripada 27 perlawanan dalam semua pertandingan, peminat United patut dimaafkan kerana bimbang mungkin berdepan keputusan ulangan dibelasah 7-0 di Anfield pada 2023.
Amorim menegaskan beliau boleh mengubah nasib mereka, berkata: “Saya tahu ia perlukan kerja keras daripada setiap orang untuk pergi ke sana, tetapi saya amat teruja mengenai ke mana kami boleh pergi bersama pada 2025.
Namun bekas bos Sporting Lisbon itu mengakui untuk menyesuaikan sistem kegemarannya 3-4-3 di United tidak semudah disangka.
“Sudah tentu saya tidak memilih pemain khusus bagi posisi ini tetapi ia sudah saya ketahui sebelum ini,” katanya.
“Saya perlu menjual idea saya. Jika saya mahu mengubahnya sepanjang masa ia akan menjadi lebih buruk.”
Haaland pula percaya Manchester City mendapat faedah daripada rehat enam hari ketika dia yang baru bergelar bapa kembali turun menentang West Ham malam esok.
Lega selepas kemerosotan teruk yang menjejaskan usaha mereka mempertahankan kejuaraan, City di tangga keenam akhirnya menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa menang dengan kemenangan 2-0 di Leicester pada aksi terakhir mereka pada 2024.
Haaland, yang hanya meledak dua gol dalam lapan penampilan terakhirnya, menyumbat gol untuk menamatkan kemarau gol empat perlawanan pada minggu dia meraikan kelahiran cahaya mata sulungnya.
Penyerang Norway itu kembali bertenaga selepas mendapat rehat dan yakin pasukan kendalian Pep Guardiola boleh kembali mencabar pada tahun baharu.
“Sentiasa berasa lega selepas menjaringkan gol. Ia satu masa sukar,” kata Haaland, pasukannya empat mata di belakang kelompok empat teratas.
“Ia lima atau enam hari hingga perlawanan berikutnya. Ia satu tempoh panjang dalam satu tempoh yang agak sukar, jadi kini kami boleh berehat seketika.”
Wood teruja dengan tanggungjawab untuk mengemudi Nottingham Forest melakar kejutan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Penyerang New Zealand itu sudah menyumbat 11 gol dalam liga musim ini dan bersedia untuk menambah jumlah itu ketika kunjungan ke kelab bawahan Wolves awal pagi Selasa ini.
Peningkatan Wood yang tidak disangka-sangka diilhamkan oleh tindakan pengurus Forest, Nuno Espirito Santo yang memusatkan pelan permainannya di sekitar pemain berbadan tegap berusia 33 tahun itu.
“Saya berasa saya bermain dengan baik. Saya dalam pasukan yang amat sesuai dengan corak permainan saya, atau gaya permainan nombor 9,” kata Woods, yang meledak 22 kali bagi 34 penampilan terakhirnya dalam liga.
Terima kasih kepada jaringan Wood, pasukan tangga ketiga Forest berada dalam perlumbaan untuk layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1980-81.
“Pasukan ini bertindak dengan amat cemerlang, mencipta peluang dan bertuah kerana ia menerjah jaring,” kata Wood. – AFP
JADUAL EPL MINGGU INI
Malam esok
Tottenham mln Newcastle (8.30 malam)
Aston Villa mln Leicester (11 malam)
Bournemouth mln Everton (11 malam)
Crystal Palace mln Chelsea (11 malam)
Manchester City mln West Ham (11 malam)
Southampton mln Brentford (11 malam)
Awal pagi Ahad
Brighton mln Arsenal (1.30 pagi)
Malam Ahad
Fulham mln Ipswich (10 malam)
Liverpool mln Manchester United (12.30 tengah malam)
Awal pagi Selasa
Wolves mln Nottingham Forest (4 pagi)