
SARATOK: Pertandingan Menyumpit Terbuka Sarawak sempena majlis Ngiling Tikai Gawai Bahagian Betong 2026 berjaya menarik penyertaan seramai 50 peserta dari pelbagai daerah di Sarawak, sekali gus membuktikan sukan tradisional itu terus mendapat sambutan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata kerajaan akan terus menyokong usaha memperkasa aktiviti warisan tersebut sebagai salah satu produk pelancongan berasaskan budaya di kawasan Saratok.
Menurut beliau, pertandingan menyumpit bukan sahaja menjadi medium memelihara budaya dan warisan masyarakat pribumi, malah mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dalam industri pelancongan komuniti.
“Sukan tradisional seperti menyumpit merupakan identiti unik rakyat Sarawak yang wajar diperkenalkan kepada pelancong dari dalam dan luar negeri agar warisan ini terus dipelihara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Menyumpit Terbuka Sarawak sempena majlis Ngiling Tikai Gawai Bahagian Betong 2026 di Dataran Utama Sri Kalaka, dekat sini, semalam.
Friday berkata usaha memperkenalkan sukan tradisional secara berterusan mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan setempat di samping membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Katanya, penganjuran pertandingan seumpama itu juga menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum selain memupuk minat generasi muda terhadap warisan budaya negeri.
Pertandingan yang dianjurkan Persatuan Menyumpit Daerah Saratok itu menghimpunkan peserta dari Sibu, Lubok Antu, Kota Samarahan, Julau, Bintangor, Kapit, Song, Sarikei, Daro, Dalat, Mukah, Roban dan Saratok.
Kehadiran peserta dari pelbagai daerah memperlihatkan minat yang semakin berkembang terhadap sukan tradisional itu serta berupaya menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan peminat menyumpit.
Friday berharap pertandingan berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih besar bagi menarik lebih ramai pengunjung dari luar kawasan, sekali gus memperkukuh perpaduan masyarakat menerusi pemeliharaan warisan budaya.
Oleh Adi Safarman